KITA tentu mendengar cerita ibu bapa di kampung tidak dapat tinggal lama dengan anak-anak mereka apabila berkunjung ke rumah mereka di bandar.
Alasan yang diberikan sudah tentu tidak dapat meninggalkan terlalu lama haiwan peliharaan di kampung seperti kucing, ayam, lembu atau kambing.
Masalah yang sama juga dihadapi oleh kebanyakan penduduk bandar yang terpaksa menghantar haiwan peliharaan mereka seperti kucing di ‘hotel-hotel kucing’ yang mengenakan bayaran bagi penginapan dan makanan sepanjang haiwan itu ‘menginap.’
Bagi yang tidak mampu ‘menyewa hotel haiwan’ itu, mereka biasanya akan membawa sekali kucing-kucing tersebut atau meminta pertolongan daripada jiran atau sahabat untuk memberi makan kepada ‘anak-anak’ mereka yang ditinggalkan itu.

Jika membawa haiwan seperti kucing atau anjing balik kampung, itu mungkin perkara biasa tetapi baru-baru ini tular sebuah video seekor kambing pun dibawa pulang ke kampung menaiki kereta bersama-sama tuannya.
Memetik laporan mStar, pemilik video, Shafiqa Edora Md Din, 31, berkata, video tersebutdirakam pada 17 November lalu ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Setiawan, Perak menuju ke Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi di ibu negara.
Kambing tersebut yang mesra dipanggil Dora merupakan kambing betina yang diberi nama Gegirl dan ia merupakan salah seekor daripada enam ekor kambing yang dipelihara oleh Shafiqa Edora dan keluarga.
BERITA BERKAITAN Hajat hendak balik kampung, dua PATI ditinggalkan sindiket terikat pada pokok dalam hutan
Jelasnya kambing berbaka kacukan Jamnapari dan boer yang baru berusia lebih sebulan itu dijaganya sejak hari dilahirkan kerana ibu kambung tersebut tidak mengendahkannya kerana mempunyai anak lain.
“Hari pertama Gegirl beranak, saya dah ambil bela sendiri, beri susu botol, seminggu pertama ada perah susu mak dia nak elak bengkak tapi lepas tu tak larat nak perah, jadi campur susu formula kotak Nestle Full Cream.
“Sekarang dia dah tak boleh berpisah dengan dia,” katanya sambil berkata kambingnya itu tidak pernah meragam apabila terpaksa berjalan jauh.
“Dia okay travel jauh janji ada yang teman dalam kereta, kalau pergi kedai makan kami akan tinggal dalam kereta.
“Memang bising la mulut dia jadi kami memang akan makan cepat-cepat, kalau kedai yang dah biasa kami bawa sekali sebab tuan kedai memang tak kisah, dia duduk diam je atas riba atau dekat kaki,” katanya.
Menurut Dora, anak kambingnya itu kini terlebih manja serta kadangkala kelihatan seperti ‘terlupa’ bahawa dirinya itu seekor kambing.
“Gegirl tak banyak ragam, dia memang tidur sekali atas katil, dalam bilik aircond, berselimut bagai, kalau kita bangun dia akan bangun juga.
“Mulut tak bising kecuali lapar dan jika salah seorang daripada kami, sama ada saya, suami dan anak-anak hilang dari pandangan.
“Kalau tinggal dengan atok nenek tu dia mengamuk, merengek hentak-hentak kaki depan pintu nak keluar, sejam saya keluar, mak ayah saya kata sejam dia menjerit tak berhenti,” katanya.
Menurut Dora, ibu bapanya kadangkala terpaksa menghubunginya untuk pulang segera dan memujuk ‘anaknya’ itu.
“Mak ayah akan call, balik cepat, anak kau ni menangis.
“Nampak saya balik dia akan terus terkam, bila saya dukung baru senyap.
“Mak ayah cakap ingat kau balik boleh rehat ni nak kena jaga cucu bulu pula,” kata ibu kepada dua anak lelaki ini.
Dora yang memiliki bengkel cat kereta dengan suaminya berkata, dia akan membawa Gegirl ke tempat kerja setiap hari.
Selain kambing, Dora mempunyai 13 ekor kucing, dua ekor musang pandan, lebih kurang 20 ekor ayam, sepasang angsa, dua ekor arnab dan pelbagai jenis ikan. – UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram