Blood Falls

DI sebuah lembah di benua Antartika, Kutub Selatan, terdapat satu glasier yang mengalirkan cecair berwarna merah seakan darah.

Fenomena aneh aliran ‘darah’ ini telah dikesan pada celahan glasier di Lembah Taylor, yang terletak di wilayah kering McMurdo, Victoria Land, Antartika timur.

Berlaku di benua yang diselaputi glasier ais putih membuatkan kejadian alam ini kelihatan seperti sebuah air terjun darah yang mengalir ke Tasik Bonney Barat. Ia merupakan satu-satunya air terjun yang mengalirkan cecair berwarna merah di dunia ini.

Satu-satunya air terjun yang mengalirkan cecair merah di benua Antartika.

Orang pertama yang menemui keanehan ini ialah seorang ahli geologi, Griffith Australia Taylor pada tahun 1911. Beliau juga merupakan orang pertama yang menjejakkan kaki ke benua Antartika. Penemuan tersebut telah menyebabkan ketulan ais gergasi di mana lokasi fenomena tersebut berlaku diberi gelaran sebagai glasier Taylor.

Griffith Taylor, orang yang menemui air terjun berdarah di Antartika.

Cecair merah itu agak likat dan mengalir dengan kadar yang perlahan kerana suhu di kawasan itu sangat sejuk. Disebabkan berada pada suhu yang melampau di bawah paras beku, kawasan itu kering dan diselaputi ais. Kira-kira 400 meter dari kawasan tersebut, terdapat sumber air masin yang terbentuk dari kolam subglacial.

Pada mulanya, Taylor menganggap ia adalah sebuah kejadian alamiah yang disebabkan oleh ganggang merah – sejenis lumut berwarna merah yang terdapat pada ketulan ais. Bagaimanapun, sifat sejati air terjun berdarah itu ternyata lebih daripada apa yang diduga.

Air terjun merah glasier Taylor.

Setelah sampel air itu diambil dan kajian menyeluruh yang dilakukan, para pengkaji mendapati fenomena itu terjadi disebabkan sejenis mikro organisma kuno yang terperangkap di dalam ketulan ais. Bagaimanapun, ia memerlukan masa yang sangat panjang, berjuta-juta tahun sehingga menghasilkan cairan seperti darah.

Menurut seorang ahli geomicrobiologist, Jill Mikucki dari Amerika Syarikat, kira-kira dua juta tahun dahulu, glasier Taylor telah berada di bawah aliran air yang mengandungi sekumpulan mikrob kuno. Mikrob tersebut telah terperangkap di bawah lapisan ais yang tebal sehingga menyebabkan ia berkembang secara isolasi.

Sekurang-kurangnya terdapat 17 mikro organisma yang berasingan terperangkap di bawah lapisan ais itu. Mikrob-mikrob ini mampu hidup walaupun dalam keadaan yang hampir tiada oksigen serta cahaya. Berkemungkinan mikrob ini menggunakan sulfat dan ion besi untuk bernafas serta menggunakan kaedah metabolisme untuk mengumpul tenaga.

Mikrob ini terperangkap dalam keadaan keasinan serta kandungan zat besi yang tinggi. Keadaan itu telah menyebabkan warnanya berubah menjadi merah, yang mempunyai persamaan dengan zat besi di dalam darah.

Apabila glasier tersebut merekah disebabkan proses pemanasan global, air subglacial yang terkandung di dalam glasier akan keluar membentuk seperti air terjun, tanpa mencemari ekosistem di dalamnya. Disebabkan itulah, titisan air yang mengalir kelihatan seperti air terjun berdarah.

Pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA) turut menyatakan kemungkinan bahawa fenomena yang sama mungkin juga berlaku di planet lain yang diselaputi ais seperti Marikh dan Jupiter.

Selain Antartika, perkara yang hampir sama juga berlaku di sebuah tasik di utara semenanjung Senegal. Tasik yang diberi nama Tasik Retba itu akan berubah warna menjadi merah jambu apabila tiba musim kemarau.

Tasik Retba di Senegal.

Perkara ini berlaku disebabkan oleh sejenis bakteria aneh yang hidup di dalamnya. Selain warnanya yang merah seperti darah, tasik ini juga dikenali kerana mempunyai kadar garam yang tinggi, iaitu hampir sama dengan kandungan garam di Laut Mati.

Sementara itu di satu lokasi yang lain iaitu di Cameron Falls, Alberta, air terjun yang sejernih kristal turut dilaporkan pernah bertukar warna menjadi merah seperti darah.

Fenomena tersebut berlaku kerana hujan lebat telah menyebabkan endapan pada batu-batu mengalir ke dalam kawasan air terjun sekaligus menyebabkan perubahan warna berlaku.

Manakala tasik Waterton yang menjadi punca air utama air terjun Cameron mengandungi endapan batuan tertua di pergunungan Kanada yang berusia 1500 bilion tahun.

Air terjun Cameron juga pernah bertukar merah.

Apabila hujan lebat, endapan merah yang terdapat pada batuan ini akan terhakis dan mengalir ke dalam sungai, sekaligus terlarut dan akan menyebabkan warna sungai berubah menjadi merah. Bagaimanapun, kejadian itu hanya berlaku dalam masa beberapa jam sahaja, sebelum air sungai kembali pulih seperti biasa.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare