DALAM sejarah peradaban manusia, ahli falsafah Yunani kuno bernama Aristotle telah dianggap sebagai pengasas cabang ilmu embriologi ini. Pada kurun ke-4 sebelum Masihi, beliau telah melakukan kajian terhadap telur ayam dan mendapati embrio ayam terbentuk secara berperingkat.
Berdasarkan kajian itu, Aristotle menganalogikan pembentukan embrio manusia adalah sama dengan pembentukan embrio ayam melalui beberapa fasa tertentu. Bagaimanapun, beliau hanya menyatakannya secara rambang dan tidak memperincikan dengan jelas tahap-tahap janin di dalam kandungan.

Selepas Aristotle, seorang lagi ilmuwan Yunani kuno yang dikenali sebagai Galen telah mengeluarkan teori berkaitan embriologi pada abad ke-2 Masihi.
Menurutnya, pembentukan bayi di dalam kandungan sebenarnya melalui tiga fasa bermula dari air mani, kemudian bertukar menjadi darah beku dan seterusnya membentuk daging.
Pada masa yang sama, beliau turut beranggapan bahawa jantung dan otak manusia terbentuk semasa berada dalam fasa kedua iaitu ketika pembentukan darah beku berlaku. Teori ini bertahan lebih daripada 1,000 tahun sebelum mikroskop ditemui pada kurun ke-16.
Pada tahun 1677, ahli sains dari Belanda, Antonie van Leeuwenhoek merupakan pengkaji pertama menggunakan mikroskop untuk mengkaji sperma tampil dengan teori ‘perforation’.

Mereka beranggapan bahawa setitis sperma mengandungi manusia kecil lengkap beranggota yang akan membesar dalam rahim ibu. Bagaimanapun, apabila saintis mendapati bahawa ovum perempuan mempunyai saiz yang lebih besar daripada sperma, manusia kecil itu dianggap berada di dalam ovum pula.
Pada abad ke-18, Maupertuis telah mengetengahkan teori ‘biparental inheritance’ yang bermaksud gabungan sperma dan ovum bertanggungjawab dalam pembentukan bayi yang sempurna. Teori tersebut hampir tepat, tetapi masih belum lengkap sepenuhnya.

Sehinggalah pada tahun 1940, Profesor Streeder yang berkhidmat di Institut Embriologi Carnegie, Washington, Amerika Syarikat telah tampil dengan satu kajian lengkap dan memperkenalkan satu sistem untuk mengklasifikasikan tahap-tahap pembentukan manusia.
Sistem tersebut mengelaskan embrio manusia menjadi 23 fasa berasaskan rupa dan perbezaan, dan ia terus menjadi pegangan asas dalam cabang ilmu embriologi sehingga kini.

Ketika mana perihal ini menjadi suatu topik hangat suatu ketika dulu, Al-Quran turut muncul dengan hujah-hujah yang komprehensif. Dalam surah Al-Mukminun, Allah berfirman;
“… Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah, lalu kami ciptakan darah beku itu menjadi daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang, kemudian Kami balut tulang-temulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifatnya.” (Al-Mukminun; ayat 12-14)
Berdasarkan kepada ayat di atas, embrio terbentuk setelah berlakunya persenyawaan di antara benih lelaki dan benih perempuan di dalam ovari. Selepas persenyawaan, proses kejadian bayi berlaku secara berperingkat-peringkat.

Pada peringkat awal, embrio berubah menjadi alaqah (segumpal darah) dan kemudian bertukar kepada mudghoh yang memberi tafsiran sebagai daging yang sedikit. Selepas embrio memasuki usia enam minggu, berlakulah pembentukan organ dan pada peringkat ini ia dikenali sebagai janin atau fetus.
Keterangan yang diberikan oleh Al-Quran begitu jelas tentang aspek-aspek pembentukan manusia secara berperingkat di dalam rahim ibu. Sekalipun ia tidak diterima pakai oleh ahli sains pada peringkat awalnya, namun kecanggihan teknologi kurun ke-20 telah membuktikan bahawa apa yang dinyatakan oleh Al-Quran adalah sesuatu yang sahih dan lengkap.
Selain daripada itu, Al-Quran turut menerangkan tentang keadaan janin di dalam rahim yang dilitupi oleh tiga kegelapan. Firman Allah dalam surah Az-Zumar, ayat 6; “Dia menjadikan kamu di dalam rahim ibu mu kejadian demi kejadian dalam tiga kegelapan.” (Az-Zumar; ayat 6).
Kedudukan janin dalam tiga kegelapan adalah selari dengan penemuan sains moden hari ini. Profesor Keith L. Moore dari Universiti Toronto, Kanada, berpendapat janin sememangnya hidup di dalam tiga tutupan yang berbeza.
Tutupan pertama ditafsirkan sebagai kulit abdomen atau anterior abdominal wall. Lapisan kedua pula adalah dinding rahim atau uterine wall dan yang ketiga ialah selaput yang menutupi janin secara langsung atau dikenali sebagai amniochorionic membrane.
Ketika Al-Quran diturunkan lebih 1,400 tahun yang lalu, ilmu pengetahuan sains manusia belum mencapai tahap ini. Justeru, apabila isi kandungan Al-Quran mampu menyatakannya dengan terperinci, ianya jelas membuktikan bahawa Al-Quran adalah wahyu dari Maha Pencipta iaitu Allah yang esa.

Fakta Tambahan
- Alaqah bermaksud segumpal darah beku. Pada peringkat ini, iaitu pada minggu ketiga dan keempat kandungan, darah tersebut membeku/menggumpal dalam saluran-saluran tertutup. Dengan itu embrio memperolehi bentuk seperti suatu gumpalan darah.
- Mudghoh bermaksud ‘sesuatu yang dikunyah (mempunyai kesan gigitan)’ dan sesuatu yang melekit dan kecil yang boleh dimasukkan ke dalam mulut seperti gam. Mudghoh akan bertukar menjadi tulang-tulang (izaam) yang kemudiannya disaluti dengan daging dan otot-otot.
- Aristotle menerusi bukunya, “de generatione animalium” dan “de historia animalium” menjelaskan bahawa hasil pengamatannya terhadap embrio ayam, dia mendapati pada peringkat embrio lagi sudah wujud jantung dan pembuluh darah. Beliau menulis bahawa organ-organ lain tumbuh selepas itu.
- Embrio merupakan tahap terawal dalam perkembangan janin. Ia bermula dari pembahagian sel pertama hingga kelahiran, penetasan, atau percambahan. Selepas lapan minggu persenyawaan embrio, ia dipanggil janin. Perkembangan embrio dipanggil embriogenesis. Bagi organisma yang membiak secara seksual, apabila sperma bersenyawa dengan sel telur, hasilnya ialah sel yang dipanggil zigot, yang mewarisi separuh DNA dari setiap induknya.
- Fetus atau janin adalah peringkat perkembangan proses kehamilan selepas fasa embrio dan sebelum kelahiran. Dalam bahasa latin, fetus secara halusnya dimaksudkan sebagai ‘berisi bibit muda mengandung’. Janin berkembang pada akhir minggu kelapan kehamilan sewaktu struktur utama dan sistem organ terbentuk sehingga proses kehamilan.
- Menurut satu artikel dalam Majalah Time terbitan 1945, masa kehamilan terpanjang di rekod adalah 375 hari berbanding kehamilan biasa iaitu 280 hari. Apa yang peliknya, bayi yang dilahirkan adalah hanya 6 paun, 15 auns.
- Mengikut satu perangkaan yang dibuat di Amerika Syarikat, didapati hanya 10 peratus bayi lahir tepat pada hari yang dijangkakan, sementara 50 peratus lagi dilahirkan dalam tempoh seminggu daripada tarikh yang ditetapkan dan 90 peratus lagi dilahirkan antara dua minggu daripada tarikh yang dijangkakan.
_________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare