Keadaan di pintu masuk MAPS di Meru, Ipoh, yang terbiar dan kini dipenuhi semak samun. - Gambar Aqila Shahruzzaman/ Viral Perak.

HARAPAN tinggi menggunung akhirnya berkecai menjadi debu. Begitulah nasib taman tema animasi, Movie Animation Park Studio (MAPS), kebanggaan negeri Perak khasnya dan Malaysia amnya, yang kini terbiar sepi tiada siapa peduli.

Jangka hayatnya sangat pendek, tidak sampai tiga tahun. Setelah beroperasi untuk kunjungan ramai mulai Jun 2017, ia akhirnya ditutup pada Januari 2020 akibat menanggung rugi berterusan lantaran pengunjung semakin berkurang.

MAPS di era kegemilangan. Ramai juga pengunjung tetapi tidak dapat menampung kerugian. – Gambar Kredit: Hype My

Daripada sebuah projek yang diharap dapat menarik pelancong dari dalam dan luar negara, ia kini hanyalah sebuah kawasan tinggal yang hilang seri, dipenuhi rumput liar dan semak samun.

MAPS dibina di Meru, Ipoh, dengan matlamat mewujudkan sebuah taman tema animasi pertama di Asia. Harapan yang diletakkan begitu tinggi agar taman tema tersebut menjadi tumpuan pelancong.

Berbekal harapan dan unjuran keuntungan, terbinalah MAPS dengan kos RM520 juta. Projek ini adalah usaha sama Perbadanan Perak Berhad (PCB) dan Kumpulan Sanderson.

Dari peringkat awal pun sasaran sudah tergelincir. Taman tema animasi ini sepatutnya dibuka pada 2015 tetapi tergendala. MAPS hanya dibuka dua tahun kemudian pada Jun 2017.

Walau pun lewat, harapan tetap bernyala untuk melihat ia menjadi pusat tarikan utama pelancong memandangkan ia adalah taman tema animasi pertama sepertinya di rantau ini.

MAPS menyediakan pelbagai tarikan. Antaranya, Dataran Animasi, Zon Fantasi Hutan, Zon ‘Life Action’ serta penampilan watak-watak animasi seperti Casper the Friendly Ghost, The Smurfs, Megamind dan rumah hantu The Sacred Rianna.

Selain itu, ada juga pertunjukan penuh aksi kereta dan motosikal. Juga ada tarikan Boboiboy 4D untuk para peminat setia animasi Boboiboy.

Boboyboy 4D antara tarikan di MAPS, Ipoh suatu ketika dahulu. – Gambar Kredit Wira Travel

Begitu banyak tarikan disediakan dalam MAPS yang sepatutnya mampu menarik pengunjung. Namun sayang ia gagal memenuhi harapan menjadi taman tema animasi tumpuan ramai.

Jumlah pengunjung bukan bertambah, malah semakin berkurang setiap tahun. MAPS melalui hari-hari dalam suasana suram. Jumlah pengunjung yang terus menyusut menyaksikan anggaran hanya 200 orang datang dalam sehari.

Sewaktu mula dibuka, unjuran ialah dua juta pengunjung datang setiap tahun. Namun unjuran ini meleset jauh kerana dianggar hanya 120,000 yang datang dalam setahun.

Walau pun MAPS menambah beberapa permainan serta tarikan baharu, ia masih gagal memikat hati pengunjung. Banyak andaian dibuat kenapa siatuasi ini berlaku.

Antaranya, tiada promosi bersungguh-sungguh, termasuk promosi di negara luar. Ini menyebabkan kehadiran MAPS bagai tidak disedari, terutama oleh pelancong negara luar sedangkan mereka adalah sasaran penting.

Tidak kurang yang berpendapat ia disebabkan harga tiket masuk RM200 yang dikira mahal. Mengambil kira kemungkinan ini, pihak pengurusan bertindak mengurangkan harga tiket.

Namun sambutan tetap mengecewakan. Ekoran itu, sebagai langkah ‘desprate’ menarik pengunjung, langkah drastik diambil dengan menghapuskan terus tiket masuk mulai Mac 2019. 

Pengunjung hanya dikenakan bayaran jika menggunakan kemudahan permainan disediakan. MAPS berharap memperoleh sedikit pendapatan jika ramai pengunjung menggunakan kemudahan yang ada.

Namun usaha ini juga tidak berhasil. Jumlah kerugian ditanggung MAPS semakin menimbun dan tidak dapat dibendung. Dianggarkan hutang ketika itu sudah melebihi RM500 juta. Pendapatan yang diperoleh jauh daripada mencukupi untuk menampung kos operasi.

Akibatnya hayat MAPS tidak panjang. Untuk mengelakkan daripada terus menanggung rugi, keputusan sukar terpaksa diambil dengan menghentikan terus operasi MAPS.

Persekitaran MAPS ditumbuhi rumput liar dan sudah tidak dipedulikan. – Gambar Kredit: Aqila Shahruzzaman/ Viral Perak

Akhirnya mulai Selasa, 28 Januari 2020, MAPS ditutup ‘sehingga diberitahu kelak’. Sehingga ini ia masih ditutup, terbiar didakap sunyi tanpa diketahui untung nasibnya.

Memetik laporan Bernama, notis penutupan dikeluarkan oleh penerima dan pengurus Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), Tetuan Ernst & Young.

Sesungguhnya ini sangat menyedihkan dan tidak diduga akan berlaku. Ini bukan apa yang diimpikan ketika idea pembinaan MAPS dicetuskan dahulu. Yang diduga dan diharap ialah ia akan menjadi tarikan ramai dan menguntungkan.

Di manakah silapnya MAPS gagal menampilkan kehebatan sebagai taman tema animasi pertama di Malaysia dan di Asia? Selain kurang promosi, adakah kerana lokasinya atau kerana pengunjung tidak berminat? Adakah kerana harga tiket?

Tidak mungkin lokasi menjadi isu kerana MAPS di bandar raya Ipoh, mudah diakses melalui Lebuh Raya Utara Selatan. Tambahan, jarak bukan perkiraan utama pengunjung jika berminat untuk datang ke sesebuah taman tema tertentu.

Atau mungkinkah kerana orang ramai kurang meminati taman tema animasi berbanding taman tema air? Di Ipoh ada sebuah taman tema air, Lost World of Tambun yang sentiasa mendapat sambutan ramai. Kenapa MAPS tidak boleh seperti itu?

Atau adakah benar harga tiket menjadi halangan, terutama bagi mereka yang kurang mampu? Ada yang berpendapat MAPS bermula dengan langkah salah apabila pada awal pembukaannya mengenakan tiket mahal.

Tiket untuk dewasa RM200 seorang dan RM150 untuk warga emas dan kanak-kanak pasti membebankan. Bayangkan berapa banyak perlu dibelanjakan jika datang bersama ramai ahli keluarga. Sudahlah yang datang dari jauh terpaksa menanggung kos perjalanan tinggi. 

Sepatutunya pihak pengurusan bersikap bijak. Pada peringkat awal, tiket yang dikenakan biarlah rendah sedikit kerana matlamat utama ialah menarik pengunjung dan ‘membiasakan’ mereka dengan taman tema animasi itu. 

Setelah sambutan semakin baik, dan semakin ramai pengunjung datang, bolehlah dinaikkan tiket sedikit demi sedikit jika perlu. Atau pertahan sahaja harga tiket.

Tidak guna mengenakan harga tiket tinggi dengan harapan meraih untung segera tetapi tidak ramai datang. Biar harga rendah tetapi lebih ramai datang. Ramai datang bererti untung lebih.

Sepatutnya juga pengurangan tiket dan kemudian menghapuskan terus, dapat menarik pengunjung. Tetapi itu tidak berlaku. Jadi benarkah faktor tiket punca utama pengunjung menjauhkan diri?

Adakah usaha mengurangkan harga tiket sudah terlewat? Stigma tiket mahal sudah tertanam dalam minda orang ramai. Walau pun kemudian tiket masuk dihapuskan terus, kemasukan percuma gagal membantu.

MAPS kini sudah tidak ada dalam peta pelancongan. Juga tidak diketahui apa nasib seterusnya. Mungkinkah kerajaan negeri akan menghidupkan semula, atau ada syarikat lain bersedia mengambil alih taman tema animasi itu?

Penutupan ‘sehingga diberitahu kelak’, terma yang digunakan sewaktu menutup MAPS dahulu, boleh membawa makna ia bakal beroperasi semula tetapi entah bila. Namun ia juga boleh membawa maksud MAPS akan berkubur terus!

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram