Kenal Payudara Anda

Dalam konteks kanser payudara, konsep mencegah melalui faktor penyebab sukar diaplikasi kerana tiada faktor yang benar-benar boleh dibuktikan tepat sebagai penyebab ia berlaku.

Maka, dalam situasi ini, kesedaran pemeriksaan awal payudara adalah sangat penting dipraktikkan dalam kes kanser payudara ini.

Apabila mencapai usia 20 tahun, setiap wanita akan terdedah dengan musuh utama ini. Maka, semua anak gadis amat digalakkan melakukan pemeriksaan payudara sendiri setiap bulan terutamanya bagi yang mempunyai sejarah keluarga dengan kanser payudara. Risikonya akan meningkat seiring dengan peningkatan usia, malah ia dikatakan terus akan meningkat dengan mendadak dari tahun ke tahun atas faktor gaya hidup yang moden.

Hanya kita yang mengenal payudara kita sendiri. Apa yang perlu anda tahu, payudara kita akan berubah-ubah sepanjang hayat kita. Maka, sekiranya anda sudah biasa dengan keadaan payudara anda, maka lebih mudah dan lebih awal anda menyedari tentang perubahan luar biasa yang berlaku yang mungkin merupakan tanda-tanda kanser payudara.

Usah takut dan panik sekiranya anda terjumpa ketulan kerana 9 daripada 10 benjolan yang ditemui tidak semestinya kanser. Sesetengah wanita berkecenderungan secara genetiknya untuk mewarisi benjolan pada payudara. Walau bagaimanapun, anda perlu berwaspada terhadap semua gumpalan dalam payudara kerana kemungkinan kanser tetap ada dan hanya doktor yang boleh mengesahkannya.

Segera dapatkan pemeriksaan doktor sekiranya anda mengalami gejala berikut; benjolan di payudara atau ketiak, perubahan luar biasa pada tekstur, bentuk dan saiz payudara, kulit payudara membengkak, berkedut dan ke dalam, puting susu tenggelam, berlaku pendarahan atau lelehan luar biasa dari puting atau pun kulit payudara berbintik seperti kulit limau.

Mengetahui apa yang normal dan tidak normal pada payudara anda umpama menekan suis antara kematian dan kehidupan. Jika anda kenal dan arif dengannya, anda dapat mengesan sebarang perbezaan yang berlaku dengan mudah. Perubahan-perubahan yang berlaku mungkin boleh dilihat dengan mata kasar atau mungkin hanya jelas selepas beberapa bulan.

Ia mungkin satu tanda awal kepada sesuatu yang lain di bawah permukaan payudara!

INFO :

Harus diingat bahawa pemeriksaan sendiri payudara tidak boleh menggantikan pemeriksaan payudara klinikal tahunan (apabila mencecah usia 30-an) dan penyaringan mamogram berkala (apabila mencapai umur 40-an), bergantung kepada individu dan sejarah keluarga.

Walaupun pemeriksaan fizikal oleh doktor mahupun mamografi dapat memastikan kesihatan payudara anda, pemeriksaan sendiri payudara tetap penting bagi mengesan perubahan awal sebelum pemeriksaan doktor yang berikutnya.

Anda sepatutnya memeriksa payudara sendiri sekali setiap bulan, dalam tempoh tiga hari selepas haid berakhir ataupun 7 hingga 10 hari selepas bermulanya haid, iaitu tempoh payudara paling kurang bengkak dan sakit.

Jika anda telah menopaus, kedatangan haid tidak tetap atau telah menjalani pembedahan histerektomi (membuang rahim), periksalah payudara anda seelok-eloknya pada hari yang sama setiap bulan. Golongan lelaki juga tidak terkecuali kerana mereka juga berisiko menghidap kanser payudara.