DI bandar Chihuahua yang terletak di utara Mexico, berkait rapat dengan sebuah kisah lagenda yang popular sejak sembilan dekad yang lalu.

Di sebuah butik di dalam bandar ini, dipertontonkan sebuah patung yang dikenali dengan nama La Pascualita.

Penduduk tempatan percaya patung yang memakai pakaian pengantin ini bukan sembarangan. Mitos yang berlegar sejak dulu, Pascualita bukanlah sekadar patung. Tetapi kononnya berasal daripada tubuh seorang gadis yang telah diawetkan menjadi patung. Ada juga yang menggelarnya sebagai pengantin yang disumpah!

Patung yang dipamerkan ini menjadi bualan hangat sejak 90 tahun lalu.

Pada bulan Mac 1930 adalah kali pertama patung La Pascualita dipertontonkan di sebalik kaca butik tersebut. Sebaik diletakkan di sebalik cermin itu, patung yang didandankan dengan pakaian pengantin ini cukup mudah menarik perhatian mata pengunjung yang lalu di situ.

Ramai yang memuji, Pascualita dianggap sebagai manekuin yang terbaik kualitinya pada zaman itu. Orang ramai yang lalu di luar kedai itu akan terhenti untuk memerhati patung ini.

Tidak lama untuk warga kota itu berasakan ada sesuatu pada manekuin La Pascualita. Memandang patung itu bagaikan melihat seorang gadis hidup, yang mempunyai jiwa. Banyak ciri-ciri manusia terlihat pada patung ini. Rambutnya, raut wajahnya, kulitnya malah kukunya tampak seperti manusia asli.

Ramai yang melihat patung ini mengatakan ia bagaikan gadis yang ‘hidup’.

Apabila diamati, penduduk mengatakan wajah La Pascualita mirip dengan wajah Pascuala Esparza, iaitu anak gadis pemilik butik itu pada zaman tersebut.

Maka, tersebarlah cerita yang mengaitkan patung itu dengan gadis tersebut. Penduduk mula percaya, manekuin La Pascualita adalah anak gadis Esparza yang telah mati akibat digigit labah-labah beracun pada hari perkahwinannya.

Dikatakan wajah manekuin ini sama seperti Pascuala Esparza, gadis yang mati pada hari perkahwinannya.

Esparza dituduh telah mengawet mayat anak gadisnya, lalu dipakaikan pakaian pengantin yang sepatutnya dipakai pada hari perkahwinan tersebut. Setelah itu, patung mayat anak gadisnya itu dipertayangkan di balik cermin butik tersebut.

Saat gosip itu hebat diperkatakan, Esparza tampil menafikan dakwaan penduduk. Namun, tindakannya itu sudah terlambat. Tidak ramai yang percaya dengan penafiannya itu.

Dari sudut positif, rumor itu berjaya menarik perhatian ramai pengunjung ke butik itu. Bukan saja orang tempatan, malah pelancong dari luar termasuk para pengkaji sanggup datang untuk menyaksikan keanehan patung La Pascualita.

Ini kerana manekuin berpakaian pengantin ini turut diiringi dengan pelbagai kisah seram. Kononnya, anak mata patung ini boleh bergerak, mengikuti gerak langkah pengunjung di dalam butik itu.

Kononnya patung ini boleh berubah kedudukan tanpa dialihkan.

Ada juga yang mengatakan posisi patung ini berubah daripada posisi asal. Kononnya, La Pascualita akan ‘hidup’ pada waktu malam.

Namun, apa yang aneh, dikatakan kulit patung ini kelihatan seperti ‘hidup’ terutama pada tangannya. Garisan tapak tangan dan kukunya kelihatan betul-betul seperti manusia. Bahkan pada kakinya juga terlihat garisan varises atau urat nadi yang tampak timbul, yang menguatkan lagi kepercayaan ramai bahawa La Pascualita asalnya adalah manusia.

Tangan patung ini kelihatan ‘hidup’ seperti tangan manusia.

Walaupun ada kajian yang menafikan dakwaan itu kerana adalah mustahil untuk mengawetkan manusia dengan bentuk yang amat sempurna, ditambah pula dengan kulitnya yang mulus seperti porselin walaupun sudah berusia puluhan tahun.

Namun, penafian itu tidak berjaya mengekang kepercayaan pengunjung. Cukup ramai yang datang, bukan sekadar memerhati bahkan turut merenung berjam-jam lamanya ke arah patung ini. Dan kebanyakan mereka berpendapat, La Pascualita berasal daripada manusia.

Sehingga kini walaupun sudah 90 tahun, orang ramai masih berdebat apakah La Pascualita hanya sekadar patung, ataupun manusia sebenar yang telah dimumiakan.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare