“Katakanlah wahai Muhammad; “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Az-Zumar: 53).
Para ulama tafsir mengatakan “Katakanlah wahai Muhammad, Wahai hamba-hambaku,” adalah khusus untuk orang yang beriman saja. Bila disebut ‘hamba’ di dalam al-Quran, ia merujuk kepada orang yang beriman.
Kemudian disebutkan lagi, orang yang melampaui batas terhadap diri sendiri adalah orang yang terlibat di dalam perkara maksiat. Sesiapa yang melakukan maksiat, melanggar perintah Allah, berbuat jenayah dan banyak lagi maksiat maka dikatakan sebagai orang yang melampaui batas.
Jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Di dalam kitab Ibn Manzhur dikatakan berputus asa dalam ayat itu adalah orang yang berputus daripada berbuat kebaikan dan berbuat maksiat terlalu lama.
Allah gunakan berputus asa daripada rahmat Allah sesungguhnya Allah akan mengampunkan segala dosa dengan sayarat kita bertaubat yang sebenar-benarnya taubat.
Perbuatan putus asa tidak akan timbul jika orang Islam kuat akidah. Kenyataan itu adalah disandarkan kepada hadis 40 Imam Nawawi, daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud katanya, telah menceritakan kepada kami oleh Rasulullah s.a.w. ,
“Sesungguhnya seseorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama empat puluh hari berupa air mani, kemudian jadi segumpal darah seperti demikian itu empat puluh hari, kemudian jadi seketul daging seperti demikian itu juga iaitu empat puluh hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkannya menulis empat perkara, iaitu rezekinya, umurnya, amalnya serta celakanya atau bahagianya.
Maka demi Allah yang tidak ada Tuhan selainnya, sesungguhnya salah seorang daripada kamu mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan dengan amal ahli neraka, maka masuklah ia ke dalamnya.

Dan sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan amal dengan ahli neraka sehingga antaranya dan antara neraka melainkan sehasta, mungkin terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan pula dengan amal ahli syurga, maka masuklah ia ke dalamnya.” HR Bukhari dan Muslim
Daripada hadis itu jelas, qada dan qadar telah ditentukan sejak di dalam rahim ibu lagi. Allah tentukan rezeki, ajal, amalan buruk dan baik kita semua.
Maksiat Dengan Izin Allah
Bagi Ahli Sunah Wal Jamaah, kita disuruh berikhtiar kerana ia yang akan menentukan dosa dan pahala. Misalnya kita naik kereta hendak tuju ke mana, ke masjid atau kelab malam.
Jika kita bawa kereta ke masjid untuk beribadah, maka pahala di situ. Jika menuju ke kelab malam untuk melakukan maksiat maka berdosa. Kita masih ada pilihan tetapi dengan izin dan kehendak Allah. Tidak kiralah apa yang dilakukan sama ada baik atau buruk semuanya dengan kehendak dan izin daripada Allah.
Jika lakukan perbuatan jahat memang dengan izin Allah maka kita lakukan perkara itu tetapi keizinan itu dengan keadaan Allah tidak redha dalam perkara maksiat. Memang pilihan daripada manusia tetapi dengan kehendak dan izin daripada Allah.
Kalau kita kata ada pilihan dengan usaha kita sendiri untuk melakukan kejahatan tanpa ada keizinan daripada Allah, itu bermaksud Allah tidak ada kuasa. Tanpa ada kehendak daripada Allah maksudnya kita lebih berkuasa daripada Allah.
Sebab itu kena faham memang kita membuat pilihan tetapi dengan kehendak dan izin daripada Allah. Begitu juga dengan hal melakukan kejahatan juga kena izin daripada Allah kerana manusia tidak mampu untuk mengerakkan kaki pun tanpa ada keizinan daripada Allah.
Ia tidak akan berlaku. Adakah itu akan menyebabkan kita akan meletakkan kesalahan kepada Allah? Kita buat jahat dengan keizinan daripada Allah tetapi Allah tidak redha.
Kalau kita memahami akidah berbalik hadis tadi bahawa Allah yang menentukan segalanya namun kita kena berbalik semula kepada usaha kita. Ikhtiar itu perlu kerana Nabi juga berikhtiar tetapi Allah yang tentukan.
Datanglah kesusahan banyak mana pun jika kita tahu bahawa Allah telah tentukan segalanya dan apa yang dimiliki semuanya pinjaman daripada Allah hati akan tenang. Sebab itulah bagi orang beriman tidak ada istilah putus asa dan kecewa kerana percaya sepenuhnya kepada ketentuan Allah.

Jangan letakkan urusan dunia di dalam hati kerana ia hanya akan menyebabkan fikiran terlalu memikirkannya, dunia ini hanya transit saja. Ia datang dan pergi, semuanya sekadar pinjaman apabila Allah hendak ambil biarkan ia pergi.
Sedangkan Nabi dan para sahabat pun menghadapi kesukaran semasa hidupnya apa lagi kita manusia biasa yang tidak seberapa amalnya.
Takbir Pertama Lebih Baik Dari Harta
Ada satu peristiwa sahabat mengadu lapar kepada Rasulullah s.a.w. dan mengikat seketul batu di perut untuk menghilangkan lapar. Kemudian Rasulullah menunjukkan pula perutnya yang terikat dua batu, yang membawa maksud Baginda pun lapar juga.
Tidak ada makanan untuk dimakan bukan masalah bagi para sahabat dan Rasulullah. Mungkin, pada hari itu rezeki mereka tidak ada untuk menjamah makanan tapi ia bukan masalah besar masih ada jalan penyelesaian iaitu dengan berpuasa.
Sedangkan seorang nabi pun begitu kehidupannya apalah sangat kita manusia biasa tidak punya apa-apa. Ambil pepatah, bekerja untuk dunia seolah-olah hendak hidup seribu tahun, hendak jadi kaya tidak salah asalkan jangan jadikan urusan satu yang memberatkan fikiran.
Ikutlah seperti Abdul Rahman Auf kerana terlambat pada takbir yang pertama dia pun menyerahkan kesemua hartanya. Suatu hari Abdul Rahman Auf terlambat untuk mengerjakan solat jemaah di masjid kerana urusan perniagaan. Apabila Rasulullah bertanya kenapa lambat. Abdul Rahman menjawab sibuk menguruskan perniagaannya. Lalu Rasulullah kata,
“Sesungguhnya takbir yang pertama itu jauh lebih baik dari seluruh harta yang kamu ada,” maka Abdul Rahman menyerahkan seluruh hartanya kerana tidak mahu meletakan sepenuhnya urusan dunia di dalam hati.
Cukup-cukuplah, hentikan semua rasa putus asa yang sudah mula menguasai diri ia akan menyusahkan hidup dan mendatangkan mudarat pada diri nanti. Wallahu a’lam
________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

