Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash ra., Rasulullah s.a.w bersabda: “Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat, dan ceritakanlah tentang Bani Israel tanpa perlu takut. Dan barang siapa berbohong ke atasku dengan sengaja maka bersiaplah dia mengambil tempatnya di neraka.” HR Bukhari
Selagi kita bernama manusia yang diutuskan menjadi khalifah di muka bumi ini, maka selagi itulah kita memikul tanggungjawab untuk menyampaikan. Apa yang perlu disampaikan? Sejauh mana ia harus disampaikan?
Seruan untuk menyampaikan bukan untuk Rasulullah s.a.w. sahaja. Ia tanggungjawab setiap Muslim setelah kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Pensyarah Al-Quran dan Al-Sunah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Sahlawati Abu Bakar, daripada penelitian yang dilakukan menjelaskan, tuntutan itu ditujukan kepada siapa? Dalam membincangkan isu itu, al-Quran adalah rujukan utamanya untuk meneliti ayat seruan. Adakah seruan menyampaikan hanya untuk rasul dan nabi saja atau lebih banyak kepada orang beriman?
Daripada penelitian yang dilakukan oleh Sahlawati, ayat al-Quran menyebut perkataan Ya ayyuhallazina amanu (Wahai orang-orang yang beriman) sebanyak 98 kali. Manakala perkataan Ya ayyuhannas sebanyak 20 kali yang ditujukan kepada semua manusia secara umum.
Sedangkan seruan Ya ayyuhannabiy, Ya ayyuharrusul dan Ya ayyuharasul yang ditujukan kepada nabi dan para rasul hanya disebut sebanyak 16 kali.
Jelasnya, perkataan yang paling banyak adalah seruan, “Wahai orang-orang beriman.” Daripada situ boleh difahami bahawa seruan itu lebih banyak kepada orang yang beriman dan al-Quran itu juga diturunkan kepada orang beriman.
Untuk menyampaikan seperti yang Rasulullah seru di dalam hadis mula-mula tadi, peranannya dipegang oleh orang beriman.
Kalau ada yang mendakwa bahawa dirinya bukan pendakwah, maka tidak perlulah berdakwah, itu salah sebenarnya. Sedangkan al-Quran menyebut, ‘wahai orang beriman’ bukannya ‘wahai orang yang berdakwah’ atau ‘wahai orang yang berilmu’.
Tuntutan itu secara umum ditujukan kepada orang beriman maka ia tertakluk kepada sesiapa saja yang beriman. Dan, yang dikatakan orang beriman itu ada ciri-cirinya seperti digariskan dalam al-Quran.
Kemudian merujuk pula pada seruan yang disebut ‘wahai manusia’, yang dikategorikan di dalamnya termasuk juga orang beriman. Jika dicampurkan kedua-duanya ia akan menjadi 118 kali seruan yang disampaikan Allah kepada manusia untuk menyampaikan.
Apabila ditanya seruan kepada siapa? Kita kena kembali semula kepada takrifan awal iaitu kepada semua. Tanggungjawab menyampaikan itu adalah hak semua manusia. Namun yang banyaknya tuntutan menyampaikan itu adalah kepada orang beriman. Dan, Rasulullah s.a.w. pun menyeru kepada orang-orang beriman supaya berdakwah kepada orang tidak beriman.
Andai kata kita mahu mengatakan bahawa tugas menyampaikan hanya hak eksklusif kepada nabi dan rasul serta orang tertentu saja, kurang tepat sebenarnya. Dalam al-Quran hanya menyebut 16 kali saja yang ditujukan kepada nabi dan para rasul. Dengan lain perkataan, seruan untuk menyampaikan yang diberi hak kepada nabi dan rasul hanya sedikit.
Semua Wajib Sampaikan
Tanggungjawab untuk menyampaikan adalah kepada semua manusia. Hanya sedikit saja ayat al-Quran yang menyebut sampaikanlah, ditujukan kepada Rasulullah s.a.w. dan orang tertentu.
Diambil satu contoh ayat al-Quran yang benar-benar menunjukkan bahawa tugas menyampaikan diletakan kepada Rasulullah s.a.w. Firman Allah dalam surah al-Maidah: 67,
“Wahai Rasul Allah! sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu; dan jika Engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah Engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.”
Menurut Sahlawati, ayat itu menjelaskan perintah kepada Rasulullah s.a.w. untuk menyampaikan apa yang diwahyukan. Seruan itu jelas untuk Rasulullah menyampaikan apa saja yang datang daripada Allah daripada aspek akidah, syariat dan hukum hakam, sekiranya Rasulullah s.a.w. tidak melakukannya atau pun terkurang maka seolah-olah tidak menyampaikannya.
Apabila Rasulullah menuturkan, “sampaikanlah daripada ku walau sebaris ayat” di situ Baginda sedar selepas ketiadaannya siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menyampaikan selain daripada umatnya.
Jadi, umatnyalah yang dipertanggungjawabkan untuk menyambung apa yang telah Rasulullah s.a.w. sampaikan. Disebut umat di situ adalah secara umum. Walaupun yang layak keluar kepada masyarakat adalah dai’, berilmu, berpengetahuan, akidah betul dan warak namun setiap orang memikul tanggungjawab serupa berdasarkan khalayaknya. Wallahu a’lam
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

