GAMBAR HIASAN: Abd Razak Aid

PEMULIHAN bekalan air di 463 kawasan Lembah Klang yang terjejas sejak semalam ekoran pencemaran bau di Sungai Semenyih telah pun mencapai tahap 72 peratus setakat pukul 10 pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam kenyataan di media sosial memaklumkan, tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain.

Katanya, ia bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Menurut Air Selangor, bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya menjelang 11.30 malam ini.

Air Selangor memberitahu, status pemulihan kawasan yang terjejas boleh didapati di pautan hentitugas.airselangor.com.

“Air Selangor berharap agar pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

“Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

“Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Bantuan yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Bekalan air 463 kawasan Lembah Klang pulih malam esok

Diesel dibuang ke sungai, 463 kawasan di Selangor tak ada air

Berdasarkan perkongsian Air Selangor, status terkini mengikut wilayah menyaksikan pemulihan di Hulu Langat telah pun mencecah 94.4 peratus.

Ini diikuti Putrajaya yang mencapai 87 peratus manakala Sepang 85.6 peratus.

Peratusan pemulihan di Kuala Langat pula mencecah 65 peratus dan Petaling hanya 48.8 peratus setakat pukul 10 pagi tadi.

Semalam, Air Selangor memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas akibat pencemaran bau diesel dikesan di Sungai Semenyih.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bekerjasama dengan Air Selangor bagi mengenal pasti punca pencemaran.

“Susulan henti tugas LRA Sungai Semenyih, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Wilayah itu ialah Petaling membabitkan 172 kawasan, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan),” katanya dalam kenyataan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram