LEBIH kurang jam 12.00 malam, Jali baru pulang ke rumah. Sebaik tiba, dia lihat isterinya Pipah sedang menantinya di depan pintu. Nampak saja suaminya, Pipah terus datang dekat. Dia perhatikan Jali atas dan bawah.
“Lambat balik bang?” soal Pipah.
“Jumpa client tadi. Bawa pergi makan,” jawab Jali.
“Ooo… Jumpa client. Bukan ke karaoke ke?” soal Pipah.
“Pandai jer awak ni. Mana ada,” balas Jali.
“Eh, ada rambut gugurlah kat baju abang,” ujar Pipah.
Jali menarik Pipah masuk ke dalam rumah. Dia mengajak Pipah duduk di sofa. Dia pun mula bercerita.
Kata Jali, keguguran rambut bagi seorang lelaki yang sudah meningkat umur adalah biasa. Lelaki dan perempuan yang berusia akan mengalami keguguran rambut sehingga 125 helai sehari. Rambut baru akan tumbuh menggantikan rambut yang telah gugur.
Pipah hanya diam dan khusyuk mendengar penerangan Jali.
Tambah Jali lagi, lelaki dan wanita akan kehilangan ketebalan rambut apabila mereka semakin berusia, tetapi perkara ini lebih banyak berlaku kepada kaum lelaki berbanding kaum wanita. Sebab itulah ramai lelaki yang jadi botak seiring dengan peningkatan usia.
Hal ini berlaku disebabkan folikel rambut yang semakin menyusut. Apabila umur meningkat, folikel rambut sudah tidak mampu menghasilkan rambut baru untuk menggantikan rambut yang gugur. Disebabkan itulah ramai yang mengalami masalah botak.
Folikel rambut menyusut disebabkan pertukaran hormon, dan lelaki mempunyai pola mula botak jenis tipikal kerana disebabkan oleh hormon testosteron yang semakin melemah. Berdasarkan kajian, umur, jantina, dan faktor keturunan juga boleh menjadi punca rambut senang gugur dan kebotakan.
“Dah habis ke bang?” soal Pipah setelah Jali selesai memberi penerangan. Jali hanya mengangguk.
“Amboiii… Panjangnya penjelasan. Masalahnya rambut yang melekat kat baju abang ni panjang. Dah la tu, warna perang pula. Sejak bila abang pandai blonde rambut ni? Cakap! Cakap!” soal Pipah bertalu-talu.
Gulp!
Jali tertelan air liur. Dan Pipah terus naik hantu.
Keh keh keh…

_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

