Pemain negara diasak pemain Indonesia dalam perlawanan peringkat kumpulan malam tadi. Foto FAM


JARINGAN awal Kogileswaran Raj belum cukup melemahkan moral pasukan Indonesia untuk bangkit membenam cabaran Malaysia pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura dengan keputusan selesa 4-1 malam ini.


Dua jaringan Indonesia pada setiap separuh masa menerusi Irfan Jaya pada minit 36 dan 43 serta Pratama Arhan minit 50 dan Elkan Baggott minit 82 sudah cukup memastikan Malaysia tersingkir awal.


Pastinya persembahan buruk skuad bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe menjadi punca kekalahan itu ketika Indonesia layak menang kerana beraksi cukup cemerlang.


Perlawanan pada awal berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling membuat serangan bertubi-tubi.

Indonesia yang mengikat Vietnam tanpa jaringan sebelum ini tidak patah semangat apabila berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi Irfan Jaya selepas menerima hantaran Witan Sulaeman di minit 36.

Bagaimanapun, Malaysia yang memerlukan tiga mata penuh untuk mara ke separuh akhir dari Kumpulan B gagal menandingi kepantasan pemain-pemain Indonesia yang ditunjangi kebanyakannya pemain muda di bawah kendalian Shin Tae Yong dari Korea Selatan.

Kekalahan itu juga menamatkan rekod dua kemenangan skuad negara ke atas Indonesia sejak 2019 selepas Malaysia menang 3-2 dan 2-0 dalam kempen Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum ini.

Dalam aksi itu, jurulatih negara Tan Cheng Hoe merombak bahagian serangan apabila meletakkan Syafiq Ahmad sebagai penyerang tunggal dengan dibantu Faisal Halim dan R Kogileswaran di belakangnya.

Malah, tonggak kacukan yang beraksi untuk FC Midtjylland di Liga Denmark, Dion Cools diturunkan buat pertama kali dan digandingkan bersama Junior Eldstal di benteng pertahanan.

Perubahan itu tampak membuahkan hasil pada mulanya apabila Kogileswaran meletakkan skuad negara di depan hasil percubaan deras yang gagal diselamatkan Nadeo Arga Winata pada minit ke-13.

Namun itu bukan masalah bagi Indonesia yang tidak patah semangat apabila berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua jaringan Irfan Jaya.

Usaha Harimau Malaya memasukkan Dominic Tan bagi mengubah tempo perlawanan bagaimanapun gagal membuahkan hasil.

Ini selepas skuad Garuda menambah gol ketiga selepas empat minit babak kedua bersambung hasil rembatan Pratama Alif Rifai untuk ‘melemaskan’ Khairul Fahmi Che Mat buat kali ketiga.

Ketinggalan tiga gol memaksa Cheng Hoe memasukkan Guilherme De Paula dan Akhyar Rashid bagi menambah sengat dan hasilnya jentera hadapan kembali menyengat dengan beberapa siri percubaan.

Bagaimanapun usaha mencari gol terus buntu apabila Indonesia menerusi  pemain gantian Elkan Baggot menambah derita kem negara apabila bijak menyudahkan sepakan penjuru menerusi tandukan yang tepat menuju ke gawang Malaysia.