BENCANA alam seperti banjir adalah fenomena biasa yang terjadi di seluruh tempat. Namun, kadangkala bencana ini juga datang dengan keganjilan yang jarang disaksikan.

Salah satu daripadanya ialah kejadian banjir buih yang pernah berlaku di Cape Town, Afrika Selatan pada tahun 2008. Fenomena aneh itu telah menyebabkan hampir keseluruhan kawasan pesisir pantai ditenggelami buih-buih Cappuccino.

Buih yang berwarna seakan-akan seperti kopi Cappuccino itu terbentuk di pantai Cape Town. Buih-buih halus itu telah melimpah dari pantai dan memenuhi kawasan daratan.

Banjir buih Cape Town.

Buih-buih yang melimpah ini berketinggian sehingga tiga meter. Ia telah menyebabkan banyak kes-kes kemalangan jalan raya dan juga kejadian mati lemas.

Kebanjiran gelombang buih ini di jalan raya menyebabkan penduduk tidak dapat mengawal kenderaan masing-masing. Para penjaga pantai juga tidak dapat mengagak kedalaman air dan kekuatan air disebabkan oleh buih-buih ini.

Keadaan itu telah memerangkap mereka. Ada yang mati lemas dan tidak berupaya keluar daripada air.

Walaupun banjir buih ini menyebabkan kemalangan dan meragut nyawa, penduduk sekitar tetap keluar untuk menyaksikan fenomena aneh itu walaupun berisiko membahayakan nyawa mereka sendiri. Bagi mereka keadaan itu sangat jarang berlaku.

Fenomena seumpama ini bukan sahaja berlaku di bandar Cape Town, ia juga pernah berlaku di beberapa tempat lain seperti di Amerika Syarikat, timur pantai Australia seperti pantai Brisbane, Sydney dan juga di sebahagian pantai di California. 

Fenomena buih ganjil ini juga menimbulkan pelbagai andaian. Ada yang mengatakan buih tersebut datang dari bawah tanah dan ada juga yang mengatakan buih itu berpunca dari kilang sabun yang tenggelam disebabkan banjir besar.

Mereka mengatakan banjir besar yang melanda bandar itu telah menyebabkan hampir keseluruhan bangunan-bangunan di kawasan pesisir pantai ditenggelami air. Salah satunya ialah kilang sabun. Sabun-sabun yang tenggelam dalam air banjir telah menghasilkan buih yang begitu banyak.

Ada juga sesetengah pihak mendakwa kejadian banjir buih itu disebabkan sebuah kapal tangki yang membawa bahan detergen telah terbalik di lautan Atlantik. Ini menyebabkan laut diselaputi buih-buih yang terhasil akibat kocakan ombak. Seterusnya angin yang kuat membadai perairan bandar itu telah menyebabkan buih-buih itu terbang dibawa angin sehingga ke darat.

Sebenarnya, kejadian banjir buih di Cape Town berlaku disebabkan oleh kandungan air laut itu sendiri. Kejadian ini disebabkan oleh ketidaknormalan pada partikel yang terdapat dalam air laut.

Dalam kandungan air laut terdapat banyak partikel-partikel kecil seperti protein, lemak, bahan-bahan organik, di mana sebahagian besarnya adalah garam terlarut. Jadi apabila air laut berkocak, semua partikel itu akan bercampur dan mengeluarkan buih-buih kecil.

Kebiasaannya, fenomena ini terjadi apabila berlaku ribut taufan yang menyebabkan banyak proses kocakan air laut terutama di bahagian pantai. Aktiviti tersebut telah menyebabkan kombinasi air laut yang produktif dengan protein, lemak dan alga menghasilkan buih pada skala yang besar.

Jika di Malaysia, kita akan dapat melihat buih-buih sebegini apabila tibanya musim tengkujuh. Namun begitu, buih-buih yang terhasil tidaklah banyak dan besar seperti yang berlaku di Cape Town, Australia dan Amerika Syarikat. Ini kerana ia memerlukan angin yang kuat seperti taufan yang boleh menghasilkan kocakan yang kuat pada ombak di pesisir pantai.

____________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen