PADA 15 Januari 1919, penduduk di utara Boston, Massachussets, Amerika Syarikat seperti biasa melakukan aktiviti harian mereka. Suasana ketika itu tenang. Tiada siapa menyangka akan berlaku satu bencana yang membinasakan hampir separuh bandar itu.
Kira-kira jam 2:00 petang, penduduk di daerah berkenaan dikejutkan dengan satu dentuman yang sangat kuat, disusuri bunyi letupan demi letupan. Asap tebal mula memenuhi ruang udara. Keadaan menjadi kelam kabut dan ramai orang menjerit ketakutan.
Bunyi dentuman kuat itu disebabkan oleh sebuah tangki yang mengandungi 2.3 juta gelen molasess telah pecah. Molasess merupakan sejenis cecair yang merupakan sisa bahan kilang bukan toksik. Ia merupakan sirap pahit yang pekat dan berwarna hitam. Kebiasaannya molasses diperoleh daripada penapisan gula tebu, ubi dan anggur.
Letupan kuat itu mengakibatkan bandar utara Boston dilanda banjir. Cuma bezanya, bandar itu bukan ditenggelami air, sebaliknya dibanjiri cecair molasess. Berdasarkan catatan, ombak besar molasess berukuran lebih kurang lima meter tinggi dan 50 meter lebar telah membanjiri kawasan tersebut.

Arus deras ombak molasses tersebut dianggarkan bergerak dengan kelajuan 35 batu per jam iaitu bersamaan dengan 60 kilometer/jam, yang menghancurkan apa saja yang dilaluinya.
Disebabkan letupan yang tidak disangka-sangka itu, kebanyakan penduduk tidak bersedia menghadapi bencana itu. Tragedi itu telah mengorbankan 21 mangsa, manakala 150 lagi cedera parah.

Pelbagai pihak tampil mempersoalkan soal sistem keselamatan yang diguna pakai oleh kilang berkenaan. Tangki yang pecah itu merupakan milik United States Industrial Alcohol dan tragedi tersebut dipercayai berlaku disebabkan oleh kebocoran pada tangki utama loji berkenaan.
Pihak syarikat telah mengesan masalah terbabit dan mengeluarkan amaran supaya memberhentikan operasi untuk membaik pulih tangki tersebut. Namun, amaran itu tidak dihiraukan oleh para pekerja kilang berkenaan.
Perkara tersebut tidak diketahui oleh pihak atasan syarikat. Malah, kebocoran tangki itu telah ditutup dengan hanya mewarnakan tangki yang bocor itu dengan warna perang agar ia tidak disedari oleh sesiapa.
Menurut seorang warga Boston yang dikenali sebagai Stephen Puleo, ketika kejadian itu berlaku, semua penduduk berteriak dan lari lintang pukang untuk menyelamatkan diri. Rata-rata mereka yang tidak sempat melarikan diri tenggelam dalam kepekatan molasses yang likat.

Hentaman kuat daripada gelombang molasses telah merosakkan bangunan di sekitar kilang, landasan kereta api serta hampir kesemua rumah-rumah di situ musnah.
Ini kerana, kuantiti cecair yang besar seperti molasses ini boleh mendatangkan bahaya jika dilepaskan secara mendadak kerana jumlah jisim dan isi padu cecair tersebut akan mengeluarkan momentum yang kuat.
Kerja-kerja pembersihan mengambil masa lebih seminggu. Dalam tempoh itu juga siasatan telah dilakukan oleh pihak berwajib yang mana mereka berjaya menemui punca sebenar kejadian.

Rupa-rupanya kilang ini beroperasi secara haram selepas lesen perniagaan mereka tidak diperbaharui. Selain itu juga, tangki yang menyimpan cecair molasses itu tidak pernah diuji terlebih dahulu sebelum diisi dengan cecair tersebut. Ditambah pula terdapat kebocoran yang pernah dilaporkan pada kimpalan plat logam, namun tiada tindakan baik pulih diambil.
Disebabkan kelalaian pemilik kilang dalam mengutamakan ciri-ciri keselamatan, premis berkenaan telah disita dan pemiliknya turut didakwa atas dakwaan kecuaian. Operasi kilang diberhentikan serta-merta. Kerugian dianggarkan melebihi USD$ 100 juta.
_________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen