SEBANYAK 342 menara komunikasi telah terkesan di Selangor setakat semalam susulan bencana banjir yang melanda sejak Sabtu lalu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebanyak 153 menara telah pun berjaya beroperasi semula, namun 189 lagi masih dalam proses baik bulih.
Kata beliau, kawasan menara komunikasi yang terjejas paling teruk adalah di Shah Alam iaitu 172 menara terlibat dengan 93 lagi masih dalam proses pembaikan.
Beliau memaklumkan, sebanyak 23 menara di Sepang dan 21 lagi di Klang turut dalam proses baik pulih.
“Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi dalam usaha membaik pulih menara-menara komunikasi yang terjejas susulan banjir besar melanda beberapa buah negeri termasuk kawasan kritikal di Selangor.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 342 menara yang terkesan di Selangor. Daripada jumlah tersebut, 153 menara telah berjaya beroperasi semula dan 189 lagi masih dalam baik pulih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar Musa memaklumkan, SKMM dan syarikat telekomunikasi berhadapan kekangan termasuk tidak dapat akses ke lokasi menara.
Baca artikel berkaitan: Sokongan mantap perlu dizahirkan kepada PM – Annuar Musa

Selain itu, beliau berkata, ketiadaan bekalan elektrik bagi tujuan keselamatan penduduk setempat juga menjadi kekangan SKMM dan syarikat telekomunikasi untuk membaik pulih menara.
“Kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan dan menara telekomunikasi yang terjejas dijangka kembali beroperasi tidak lama lagi dan pemancar di kawasan terlibat juga akan diaktif semula secepat mungkin sebaik sahaja bekalan elektrik disambung Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“SKMM juga telah membuat perbincangan bersama persatuan-persatuan radio amatur bagi mendapatkan bantuan perkhidmatan radio amatur sebagai saluran perhubungan alternatif bagi kawasan-kawasan yang terkesan.
“Kini, beberapa sistem radio amatur telah mula beroperasi dan ditempatkan di beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat bencana banjir.
“Penduduk diminta bersabar sementara tindakan mitigasi dijalankan bagi memastikan semua penduduk dapat kembali menikmati perkhidmatan telekomunikasi seperti sedia kala,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

