SERAMAI 500 sukarelawan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil inisiatif membantu kerja-kerja pembersihan kediaman dan kawasan sekitar mangsa banjir yang terjejas teruk di Hulu Langat.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, program gotong-royong pasca banjir di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan kerjasama semua agensi di bawah KBS itu turut disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar Lembah Klang.
Menurut beliau, kerja-kerja pembersihan yang bermula pukul 8.30 pagi tadi itu memberi tumpuan bukan sahaja kepada kediaman tetapi juga persekitaran perumahan.
Ahmad Faizal memaklumkan, keseluruhan pasukan sukarelawan KBS itu melaksanakan kerja pembersihan di Batu 16 dan juga Desa Nanding, Hulu Langat yang terjejas teruk minggu lalu.
“Alhamdulillah, program ini juga melibatkan sukarelawan daripada institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Fokus kita hari ini bukan sahaja tertumpu kepada bahagian dalam rumah tetapi juga kerja pembersihan sekeliling rumah.
“Kita juga membawa jentera berat seperti 10 jengkaut dan 20 lori bagi memudahkan kerja pengalihan sampah,” katanya kepada UtusanTV.
Baca artikel berkaitan: Ahmad Faizal bersama 200 sukarelawan KBS bantu mangsa banjir
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, beliau telah dihubungi beberapa pihak swasta bagi penajaan 40 lori dan tiga lagi jengkaut untuk membantu proses pembersihan pasca banjir di Hulu Langat.
Katanya, kesemua kenderaan itu akan ditempatkan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Dusun Tua, Hulu Langat.
“Cuma saya ingin memohon kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kalau boleh dapat menyediakan pemandu bagi memudahkan kerja pembersihan sampah di kawasan ini.
“Saya juga nak merakamkan jutaan terima kasih kepada Shapadu Thermomix yang sudi datang membantu memberikan minuman dan makanan bukan sahaja kepada sukarelawan tetapi juga penduduk setempat.
“Alhamdulillah, kita bukan sahaja dapat bersihkan kira-kira 30 buah rumah tetapi juga kawasan persekitaran kediaman mangsa banjir bagi memudahkan laluan,” jelas beliau.
Pada masa sama, Ahmad Faizal memohon kepada orang ramai yang ingin menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir untuk menyumbang perkakasan dapur.
“Saya lihat kebanyakan mangsa banjir menerima bantuan dari segi barang makanan tetapi mereka tiada perkakas untuk memasak.
“Jadi, saya minta jasa baik orang ramai yang mahu memberi bantuan mungkin boleh menyumbang perkakas dapur supaya mereka boleh menyediakan makanan untuk keluarga,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

