hindari huru hara fitnah

Bagi seorang mukmin, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah memastikan hadis yang menceritakan tentang perkara ghaib itu adalah sahih. Jika dia dapat mengenal pasti hadis itu sahih, langkah seterusnya adalah memahami hadis itu dan beriman dengannya mengikut kefahaman para ulama Ahli Sunnah wal Jama’ah yang muktabar.

Di antara berita Rasulullah s.a.w. tentang perkara ghaib adalah hadis berikut,

Sesungguhnya akan terjadi pelbagai huru hara, di mana orang yang duduk lebih baik daripada orang yang berdiri, orang yang berdiri lebih baik daripada orang yang berjalan dan orang yang berjalan lebih baik daripada orang yang berlari. Sesiapa yang keluar kepada huru-hara itu akan disambar olehnya. Justeru, sesiapa yang mempunyai tempat berlindung, hendaklah berlindung di situ.” (HR al-Bukhari, & al- Muslim)

Al-Imam al-Nawawi rahimahullah berkata, “orang yang duduk lebih baik daripada orang yang berdiri”sehingga akhir hadis ini adalah penjelasan tentang besarnya huru-hara fitnah-fitnah ini di samping merupakan galakan supaya umat Islam menghindarinya dan melarikan diri daripadanya. Keburukan huru-hara ini dan fitnahnya akan menyambar seseorang itu mengikut kadar minatnya.

Di dalam satu riwayat lain, sebagai sambungan hadis tadi, Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Maka pecahkanlah anak panah kamu, potonglah tali busar kamu, pukullah pedang kamu pada batu. Jika ada orang menceroboh masuk rumah salah seorang daripada kamu, maka jadilah kamu seperti yang terbaik antara dua anak Adam.” (iaitu Habil).” (HR Abu Daud, dihukum sahih oleh al-Albani)

Al-Imam al-Mubarakfuri rahimahullah menukilkan kata-kata al-Imam al-Tibi rahimahullah bahawa,

Selagi jauh seseorang itu daripada huru-hara dan daripada pencetusnya, maka semakin baik bagi dirinya berbanding jika dia mendekatinya dan bergaul dengan pencetusnya. Ini kerana jika dia mendekati, hasilnya ialah dia akan memerangi mereka. Jika kamu melihat perkara ini maka pecahkanlah anak panah kamu dan patahkan busar kamu.”

Al-Imam al-Syaukani rahimahullah, dalam kitabnya Nailul Autar menjelaskan dengan terperinci perbincangan ini dengan mengatakan bahawa, hadis-hadis yang terdapat dalam topik ini memberi isyarat untuk meninggalkan peperangan dan memberitahu bahawa tidak wajib bagi Muslim mempertahankan diri dan hartanya. Para ulama telah berselisih pendapat dalam perkara ini.

Pandangan pertama berkata: Orang Islam tidak boleh berperang dalam keadaan huru-hara (fitnah) sesama orang Islam. Jika rumahnya dicerobohi dan dia hendak dibunuh, dia tidak boleh mempertahankan dirinya.

Ini kerana penceroboh berbuat demikian atas dasar salah faham. Ini merupakan mazhab Abu Bakrah r.a. Manakala Ibnu Amr r.a., Imran bin Husoin r.a. dan lain-lain mengatakan bahawa dia tidak boleh turut serta, namun jika dicerobohi dia berhak mempertahankan dirinya. Dua pendapat ini bersetuju bahawa Muslim tidak wajar menyertai peperangan sesama orang Islam.  

Pandangan kedua adalah pandangan jumhur para sahabat dan tabi’in r.a. bahawa orang Islam wajib menolong kebenaran dan memerangi pemberontak dan penceroboh.

Bahkan ini merupakan mazhab keseluruhan ulama Islam. Al-Imam al-Nawawi rahimahullah mengatakan bahawa inilah pandangan yang tepat.

Manakala hadis-hadis yang melarang daripada menyertai peperangan, ertinya adalah salah satu daripada dua keadaan iaitu, pertama; bagi orang yang tidak dapat menentukan siapakah yang berada di atas kebenaran antara dua kumpulan yang bertelagah.

Keadaan kedua adalah sekiranya kedua-dua kumpulan yang berperang itu adalah berada di atas kezaliman secara pasti.   

Seterusnya, al-Imam al-Syaukani rahimahullah menerangkan lagi bahawa al-Imam al-Nawawi menyanggah pandangan pertama dengan mengatakan bahawa kesannya adalah buruk di mana kefasadan akan berleluasa dan pihak pemberontak dan penjenayah akan bermaharajalela.

Hindari Huru Hara

Dengan penjelasan ini dapatlah kita rumuskan bahawa huru-hara dan fitnah yang berlaku dewasa ini adalah rentetan daripada huru-hara dan fitnah yang telah diramalkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadis Baginda.

Apa yang diramalkan oleh Rasulullah s.a.w. pasti akan berlaku. Ini merupakan perkara ghaib yang wajib diimani oleh umat Islam.

Pendirian Muslim dalam menghadapi huru-hara dan fitnah akhir zaman, khususnya fitnah peperangan perlu dikaitkan dengan petunjuk sunnah Rasulullah s.a.w.

Awas! Fitnah boleh menghancurkan manusia

Jika setiap Muslim dapat membezakan antara siapa yang berada di atas kebenaran dan siapa yang berada di atas kebatilan, maka dia wajib membantu dan menyokong pihak yang berada di atas kebenaran.

Namun jika dia tidak mampu membezakan antara yang benar dan yang batil, maka hendaklah dia mengasingkan diri daripada peperangan, walaupun tindakan itu boleh menyebabkan dirinya dibunuh, hendaklah dia membiarkan sahaja kerana di sisi Allah dia akan mendapat pembelaan dan pahala syurga.

Begitu jugalah jika dia mengetahui bahawa kedua-dua pihak yang berperang itu berada di atas kebatilan dan kezaliman, maka dia perlu menghindari peperangan antara dua pihak yang zalim ini.

Semoga Allah Taala memelihara kita daripada segala huru-hara dan fitnah akhir zaman serta mengurniakan kepada kita kehidupan yang penuh keberkatan, yang menepati sunnah Rasulullah s.a.w. dan jauh daripada segala bentuk kemaksiatan terhadap Allah Taala dan rasul-Nya. Wallahu a’lam

_____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare