PASANGAN selebriti sensasi, Justin Bieber dan Hailey Baldwin dilaporkan sudah bersedia untuk menimang cahaya mata setelah mendirikan rumah tangga pada September 2018.
Menerusi sebuah sumber kepada portal hiburan terkenal, US Weekly, soal memiliki zuriat sudah pun berada di dalam fikiran mereka.
“Mereka berdua merasakan sudah takdir mereka untuk mempunyai anak bersama dan mereka pasti sudah pun bersedia. Pengumuman kehamilan mungkin berlaku dalam masa terdekat.
“Justin lebih daripada bersedia. Baginya, dia merasakan ia merupakan salah satu tujuan utamanya dalam hidup untuk menjadi seorang ayah. Dia tidak sabar dan sudah lama ingin menjadi seorang bapa,” ujar sumber tersebut.
Malah menurut sumber tersebut, dia mengatakan bahawa isteri kepada pelantun lagu ‘Peaches’ itu sudah bersedia untuk menjadi ibu dan mahu menikmati kehidupan bersama suami tercinta.
“Hailey akhirnya bersedia untuk menjadi seorang ibu. Dia mahu menggembara dan menikmati kehidupan bersama Justin sebagai suami isteri selama beberapa tahun sebelum mereka beralih kepada fasa seterusnya.
“Nampaknya sekarang masanya sudah tiba,” kata sumber itu.
Justin sebelum ini juga pernah menyuarakan hasrat dengan hos terkenal, Ellen DeGeneres pada Disember 2020 bahawa dia mahukan sebuah keluarga yang kecil, namun tetap gembira mempunyai ramai anak seperti yang Hailey mahukan.
Sebelum ini, impian Justin pada 2021 adalah untuk memiliki cahaya mata.
“Fokus utama saya pada 2021 adalah meneruskan segala impian yang sudah saya susun dan berseronok sepanjang menjalani kehidupan terbabit. Tapi keluarga sentiasa menjadi keutamaan saya dan berharap dapat memiliki zuriat,” katanya.

