DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini mengajak rakyat Malaysia mencipta sinar baharu bagi membina negara bangsa yang lebih baik pada 2022, setelah berhadapan pelbagai cabaran dan bergelut dengan pandemik Covid-19 di samping menghadapi bencana banjir, mengajak

Meminta rakyat Malaysia bersama-sama beliau dan kerajaan, Perdana Menteri berkata semua pihak harus membuat resolusi untuk meraikan persamaan dan mengetepikan perbezaan yang wujud bagi meneruskan agenda kemajuan negara.

“Dengan ketibaan tahun 2022 ini, maka bermulalah lembaran baharu dalam kehidupan kita. Saya berdoa semoga tahun 2022 memberikan sinar baharu kepada Keluarga Malaysia,” katanya dalam perutusan tahun baharu yang disiarkan stesen-stesen televisyen, malam ini.

Mengimbau situasi Covid-19 pada 2021, Ismail Sabri berkata wabak berkenaan menular sehingga mencapai rekod 24,599 kes harian dan mengakibatkan 393 kematian pada 26 Ogos.

Namun, beliau berkata pelbagai langkah proaktif dilaksanakan kerajaan bersama rakyat telah membuahkan hasil apabila jumlah jangkitan mencatatkan penurunan sehingga sekitar 3,000 kes harian ketika ini, lapor Bernama.

Bagaimanapun, katanya melihat kepada peningkatan kes semasa di negara seperti Amerika Syarikat, Perancis dan United Kingdom, selain kemunculan varian baharu seperti Omicron, kerajaan mengambil beberapa langkah tertentu untuk bersiap siaga bagi menghadapi sebarang penularan di negara ini.

Tambahnya pada penghujung tahun pula, Keluarga Malaysia diuji dengan bencana banjir yang agak luar biasa dengan kehilangan 48 nyawa.

“Di sebalik tragedi dan kesedihan, musibah banjir ini telah menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia iaitu kebersamaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan pangkat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi keselamatan, kakitangan Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta individu-individu yang bertungkus lumus membantu dan menyelaraskan misi bantuan semasa banjir serta melakukan kerja-kerja pemulihan pasca banjir.

“Begitu juga bantuan dan sumbangan daripada sektor korporat termasuk GLC dan GLIC. Anda semua adalah wira-wira yang tidak didendang. Syabas dan tahniah saya ucapkan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata dari aspek sosial dan kesejahteraan rakyat, kerajaan fokus untuk memenuhi keperluan perumahan generasi muda Keluarga Malaysia.

Beliau berkata aspek itu turut melibatkan teknologi Kecerdasan Buatan dengan konsep ‘Smart Safe City’ akan diperkenalkan secara berperingkat bermula di bandar-bandar utama seluruh negara.

“Inilah antara terjemahan hala tuju ekonomi yang bakal digerakkan pada tahun 2022,” katanya.

Ismail Sabri berkata isu kemiskinan dan jurang pendapatan juga merupakan agenda menjadi keutamaannya dengan beliau sendiri akan mengetuai inisiatif pembasmian kemiskinan oleh kerajaan melalui penubuhan Unit Kemiskinan yang diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan daerah.

Beliau berkata kerajaan juga akan terus memberikan fokus kepada kemajuan dan pembangunan luar bandar di serata Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram