Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Tarmymy Che ANi mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bagi kesalahan mendapatkan suapan bagi saudara serta pemalsuan dokumen yang dilakukan tiga tahun lalu.- Gambar AWANI

SEORANG pengarah jabatan kejuruteraan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mendapatkan suapan bagi saudaranya dan pemalsuan dokumen pada 2019.

Tertuduh, Muhammad Tarmymy Che Ani, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh menggunakan jawatannya untuk mencadangkan syarikat yang dimiliki bapa dan adiknya kepada Lembaga Perolehan Negeri Kedah bagi menjalankan kerja-kerja menurap dan menyelenggara sebatang jalan di Taman Tiram, Kulim bernilai RM200,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman, Alor Setar pada 12 Disember 2019.

Bagi kesalahan itu dia dituduh mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Baca: Pengarah di MPKj didakwa guna jawatan dapatkan suapan bagi adiknya

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa dengan curang menggunakan dokumen palsu iaitu Minit Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sebut harga bertarikh 27 November 2019 dan Minit Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Harga, Peruntukan Projek Marris Tahun 2019 Fasa 2 Majlis Perbandaran Kulim bertarikh 27 November 2019.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman, di sini pada 5 dan 26 Disember 2019 lepas.

Bagi dua kesalahan itu, dia dituduh di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa SPRM Kedah Mohd Zulfadli Azharudin yang mengendalikan kes itu meminta mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 ke atas tertuduh, namun peguam M. Puveneswaran memohon jaminan RM20,000 memandangkan anak guamnya perlu menyara isteri dan seorang anak.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

— BERNAMA