Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bertekad untuk terus melaksanakan tanggungjawab membanteras gejala rasuah. GAMBAR: Abd Razak Aid

KETUA Pesuruhjaya Suruhanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan tohmahan ke atasnya sebagai satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka untuk menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

Sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan, Azam berkata, beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan reputasinya.

“Kita sudah kenal pasti siapa dan apa agenda mereka,” katanya seperti dilapor portal Harian Metro.

Azam berkata demikian pada sidang media khas di Ibu pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Dalam sidang media itu, Azam turut menafikan pembabitannya di beberapa syarikat seperti dakwaan sesetengah pihak.

Baca: LPPR sudah panggil Azam, puas hati penjelasan saham milik adik

Penahanan pegawai SPRM bukti tiada siapa yang kebal – MCW

“Saya menegaskan bahawa dalam isu saham ini, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tuduhan terdapat ‘conflict of interest’ di pihak saya seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak adalah tidak berasas.

“Terdapat usaha beberapa pihak yang berkepentingan atau mempunyai agenda yang tidak baik terhadap SPRM yang mengambil kesempatan untuk terus menghakis kepercayaan masyarakat ke atas SPRM dengan menjadikan institusi Ketua Pesuruhjaya sebagai sasaran serangan bertubi-tubi,” jelasnya.

Menjawab berhubung isu saham, Azam berkata, beliau sudah menjelaskan perkara berkenaan kepada panel LPPR bahawa akaun saham miliknya digunakan oleh adiknya untuk membuat urus niaga.

“Saya tiada kepentingan atau ‘benefisial’ ke atas saham-saham yang dibeli itu. Saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik saya menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli olehnya tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.

“Akhirnya semua saham-saham itu dipindahkan kepada akaun saham beliau kemudiannya,” katanya seperti dilapor portal berkenaan.