PELAKON dan penyanyi terkenal Indonesia, Irwansyah, 37, membuat laporan polis atas pengkhianatan yang dilakukan oleh adik kandungnya, Hafiz Fatur.
Irwansyah mengambil tindakan tersebut susulan adiknya melakukan pemalsuan dokumen yang menyebabkan kerugian RM1.5 juta dan ia turut melibatkan nama isterinya, Zaskia Sungkar.
Menurut laporan Seputar Tangsel, Hafiz telah memalsukan tanda tangan Irwansyah dan kakak iparnya untuk mendapatkan pinjaman dari sebuah bank swasta tanpa pengetahuan mereka.
Malah, peguam Irwansyah iaitu Muhammad Zakir Raysidin berkata, adik pelakon itu telah meletakkan sebuah kenderaan dan beberapa unit buah rumah milik Irwansyah sebagai jaminan kepada pihak bank.
“Itu termasuklah sebuah kenderaan dan empat unit rumah yang dokumennya dipalsukan sebagai jaminan kepada pihak bank,” katanya.
Irwansyah turut meluahkan rasa hairan dan terkejut apabila dia menjadi buruan polis serta mendapat surat amaran daripada pihak bank walhal tidak membuat sebarang pinjaman.
Bintang filem Heart itu tidak pernah menjangka bahawa adiknya sanggup melakukan penipuan semata-mata untuk mendapatkan duit.
Malah,rata-rata netizen turut mengecam perbuatan keji berkenaan.
“Dia (Irwansyah) tak sangka bagaimana adiknya boleh melakukan perbuatan ini kepadanya.
“Irwansyah mengatakan dia tidak pernah langsung membuat pinjaman kepada bank yang menuntutnya,” ujar Zakir.
Apa yang lebih mengejutkan, adiknya telah melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu sejak 2018 yang lalu bahkan turut didakwa dalam kes rasuah dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan.

