PERNAH tak anda berjumpa orang yang sewaktu lahir, dia diberi nama lain. Tetapi kerana kerap sakit, nama panggilannya ditukar kepada nama yang lain. Selepas namanya ditukar, orang itu tidak lagi sakit. Dilaporkan banyak kes-kes seumpama ini berlaku.
Kami teringat kepada seorang kawan. Sewaktu datang berhari raya ke rumahnya dahulu, terdengar keluarga memanggilnya ‘Manja’. Nama sebenarnya Zulkifli. Orangnya pula berbadan besar. Mendengarkan nama panggilan itu, terasa seperti hendak tergelak.
Apabila disiasat bagaimana dia peroleh nama tersebut, rupanya dia selalu demam panas sewaktu bayi. Ibu bapanya kemudian memanggilnya dengan nama ‘Manja’. Entah macam mana, selepas sering dipanggil dengan nama timangan itu, dia tidak lagi sering demam. Maka lekatlah nama panggilan itu sampai sekarang.
Pengalaman sama turut dikongsi oleh seorang lelaki dari Selangor bernama Mohd. Naim. Itu adalah namanya yang tertulis dalam kad pengenalan. Tetapi orang memanggilnya dengan nama Abdullah.
Apabila ditanya kenapa nama panggilannya jauh berbeza dari nama yang terdapat dalam kad pengenalan, dia memberitahu semasa masih bayi dulu, dia sering menangis tanpa henti. Apabila dibawa berjumpa dengan seorang ustaz, keluarganya dinasihatkan supaya menukar namanya kepada Abdullah. Dan memang benar, tidak lama selepas itu, sawan tangisnya hilang.
Sekarang, orang ramai mengenalinya dengan panggilan nama Abdullah. Kalau ada orang mencari dan bertanya di mana rumah Mohd. Naim, orang kampung tidak kenal. Yang kelakarnya, ada juga ahli keluarganya yang tidak tahu bahawa itu adalah nama sebenarnya.
Seorang gadis dari Kuala Lumpur, Norzian Ahmad, menceritakan turut mengalami kejadian seumpama itu. Pernah semasa bayi dulu, dia sering sakit. Tubuhnya berkudis, gatal-gatal dan kelihatan seperti melecur seluruh badan. Penyakit pelik ini terpaksa ditanggungnya sehingga berusia 12 tahun. Dia kemudian dibawa berjumpa dengan seorang pengamal perubatan Islam.
Keluarganya diberitahu bahawa nama Norzian dipercayai tidak sesuai dengan dirinya. Nama asal itu harus ditukarkan kepada Norsiah. Sampai ke hari ini, dia lebih dikenali dengan nama tersebut daripada nama sebenarnya. Seperti beberapa kes yang pernah terjadi, wanita ini juga kembali sihat selepas mendapat nama baru.
Soalnya, sejauh mana kebenaran amalan mengubah nama ini mampu merawat penyakit atau perangai seseorang?
Menurut pensyarah di Jabatan Sosio-Budaya Melayu Universiti Malaya (UM) yang pernah kami temubual dahulu, amalan mengubah nama sehingga disarankan kepada keluarga dan orang sekeliling agar memanggil nama timangan baru dipercayai supaya sakit akan hilang memang lazim berlaku dalam masyarakat sejak zaman dahulu.
Banyak sebab mengapa seseorang itu disarankan berbuat begitu. Ada pendapat mengatakan bahawa nama yang sedia ada itu terlalu panjang, mempunyai makna lain dan kerana itu tidak serasi dengan tuannya. Antara sebab inilah mengapa dikatakan seseorang itu menderita sakit atau terganggu kesihatannya.
Walaupun ramai mengaku kembali sembuh selepas menukar nama, namun ia sukar untuk dibuktikan secara klinikal. Bahkan tidak ada kajian khusus yang mengatakan bahawa kuasa nama mampu menyembuhkan apa saja penyakit atau menghindarkan diri dari terkena sakit.
Dalam bentuk pantang larang atau tabu, terdapat sesetengah kelompok masyarakat masih berpegang teguh kepada sesuatu kepercayaan yang diamalkan sejak turun-temurun. Sekiranya kepercayaan ini diingkari, maka malapetaka atau kecelakaan akan menimpa diri, keluarga dan masyarakat.
Berdasarkan kes-kes yang berlaku dan mengaku kembali sembuh selepas dipanggil dengan nama baru, itu mungkin lebih kepada kepercayaan.
Apabila bercerita mengenai kepercayaan, tentunya ada kemungkinan mengapa perkara itu berlaku. Pertama, dari sudut spiritual boleh jadi ada syaitan atau jin yang mengganggu dan membuat anak kecil sakit. Kedua, si syaitan akan hentikan gangguan apabila ibu bapanya menukar nama panggilan. Dan ketiga, harapan syaitan itu agar ibu bapanya percaya hal-hal karut dan khurafat. Sekiranya sudah sampai ke peringkat ini, ia memang tidak dibolehkan.
Melainkan, menukar nama kepada maksud yang lebih baik. Kerana nama yang dipanggil umpama doa daripada si pemanggil. Malah nama itu jugalah yang akan dipanggil di hari kiamat kelak. Justeru, adalah digalakkan bayi yang baru lahir diberi nama yang membawa maksud yang baik.

________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen

