SELEBRITI Hanis Zalikha, 32, berkongsi rasa gembira dan teruja apabila dia dan keluarganya mendapat undangan berccuti daripada jutawan terkenal, Tan Sri Vincent Tan.

Menerusi perkongsian gambar dan video di Instagram Hanis, dia bersama suami dan anak-anak menaiki sebuah jet peribadi milik jutawan tersebut menuju ke destinasi pelancongan.

“Ini merupakan satu percutian yang tak pernah terbayang sebelum ini, sangat berbesar hati kerana dijemput oleh Vincent Tan untuk percutian impian ini.

“Masya-Allah rezeki ini untuk anak-anak dan kami hanya menumpang. Satu permulaan yang baik untuk tahun 2022,” katanya.

Tambah pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu, dia turut meluahkan perasaan syukur atas rezeki dan peluang yang diberikan oleh pengasas Berjaya Corporation Berhad itu.

“Saya berasa gembira dan sangat teruja. Berbeza dengan perasaan dengan kita berbelanja sendiri. Sebab bayangkan, Allah gerakkan hati orang lain, untuk gembirakan kita.
“Selalu tak terdetik? Bila orang belanja kita secawan kopi, dia tak perlu pun belanja tapi dia nak. Hati dia nak.

“Rezeki kita itu Allah salurkan melalui orang lain. Orang itu dapat kebaikan kita gembira. Kita pun dapat bahagia yang Allah bagi. Itu sangat indah,” tulisnya di Instagram.

Tegas Hanis lagi, rezeki itu hadir dalam pelbagai bentuk dan cara dalam kehidupan seharian sama ada daripada keluarga malah rakan-rakan sekerja di syarikat.

“Suami dan isteri pun macam itu, walau isteri boleh beli apa yang diidamkan, tapi bila suami yang ‘takpe saya bayarkan, sayang nak yang mana,’ seronok hati isteri itu kan.

“Staf pagi-pagi belanja bos roti canai. Orang beratur depan tiba-tiba bayarkan gula-gula anak kita kat kaunter, berbunga hati!

“Awak boleh belanja sesiapa pun, dan sebenarnya itu adalah hadiah atau ‘reward’ kepada diri sendiri,” tambahnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN : Selepas helikopter, Hairul, Hanis dipelawa naik kapal layar mewah milik jutawan Vincent Tan!

Sementara itu, tinjauan URTV ke ruangan komen mendapati rata-rata netizen setuju dengan kata-kata yang dilontarkan oleh Hanis dan luah gembira melihat pasangan ini diberikan peluang yang sangat berharga.

“Betul itu, Allah datangkan rezeki dalam pelbagai cara. Bergantung ke ada penerimaan kita sama ada bersyukur atau tidak. Seronok tengok keluarga awak,” kata @Dedaunkeladi.

“Alhamdulilah, suka sangat. Rezeki anak-anak dan Hanis sekeluarga,” ujar @Ainaaairaofficial.

“Sangat setuju. Rezeki hadir dalam pelbagai bentuk, waktu dan keadaan. Orang yang sentiasa bersyukur Allah tambahkan nilmat bahagia, tenang dan kaya kepadanya. Itu janji Allah,” komen @Sitianiee.

Terdahulu, Hanis dan suaminya, pelakon Hairul Azreen turut menerima pelawaan untuk menaiki kapal layar mewah (superyacht) yang dinamakan Asean Lady milik Vincent Tan ketika percutian mereka di Pulau Redang, Terengganu.

Untuk rekod, Hairul dan Hanis mendirikan rumah tangga pada Jun 2015 dan dikurniakan sepasang cahaya maya iaitu Yusuf Iskandar, 5, dan Alisa Aisyah, 3.