Majlis pengisytiharan Mohd Hassan Marican sebagai Canselor UTP berlangsung Isnin lalu di Seri Iskandar./ Gambar FB UTP

BEKAS Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Sri Dr Mohd Hassan Marican diisytihar sebagai Canselor keempat Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Pengisytiharan itu berlangsung di kampus UTP di Seri Iskandar, Isnin lalu.

UTP dalam kenyataan hari ini menyifatkan pengisytiharan tersebut bagai sirih pulang ke gagang buat Mohd Hassan.

Ini memandangkan idea penubuhan universiti tersebut telah dicetuskan, dikonsepkan dan direalisasikan beliau ketika memegang jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas.

Sementara itu, Mohd Hassan dalam ucapannya mengingatkan para graduan agar tidak melupakan golongan tidak bernasib baik dan menyumbang ke arah peningkatan kemasyarakatan.

Katanya, ini boleh dilakukan dalam apa jua bentuk tanpa mengira kaum atau agama, kepentingan bersikap rasional dan bertangungjawab dalam menangani isu dalam dunia pascapandemik seperti perubahan iklim.

“Kerajaan mungkin bercakap mengenai rancangan dan matlamat mereka berhubung isu iklim dengan sasaran serta tarikh akhir namun caranya adalah di mana cabaran wujud.

“Saya menggesa para graduan untuk memikirkan caranya. Pertimbang bagaimana anda boleh melibatkan diri dan pada masa yang sama, ingatlah bahawa penyelesaian serta pendekatan perlu dijalankan secara bertanggungjawab,” katanya.

Mohd Hassan turut melancarkan sambutan ulang tahun ke-25 UTP yang ditubuhkan pada 10 Januari 1997 dan bagi memperingati jubli perak universiti itu, UTP akan menganjurkan pelbagai acara dan aktiviti sepanjang tahun untuk kakitangan dan penuntutnya serta masyarakat.

Naib Canselor UTP, Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib pula menekankan kepentingan mendukung tanggungjawab yang diamanahkan kepada para graduan.

“Kami berharap apabila anda melangkah ke babak seterusnya dalam hidup anda, anda akan mendukung amanah yang diberikan kepada anda oleh orang sekeliling. Ia adalah satu amanah untuk anda sentiasa melakukan perkara yang betul dalam menjalankan amanah itu dan menggalas harapan orang tersayang, UTP serta negara,” jelasnya.

Majlis konvokesyen yang berlangsung dari 10 hingga 14 Januari melibatkan 10 sesi menyaksikan seramai 1,604 graduan menerima skrol masing-masing iaitu 77 ijazah doktor falsafah (PhD), 161 ijazah sarjana dan 1,366 ijazah sarjana muda.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram