IMBAS kembali pada 28 Februari 2020, Datuk Hasni Mohammad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-18. Beliau berada di kedudukan itu bukan sahaja melalui sokongan 14 ADUN UMNO tetapi juga daripada 12 ADUN Bersatu dan 1 ADUN Pas.

Walaupun UMNO kehilangan kuasa di Johor selepas Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tumpas dalam PRU-14, namun takdir Allah SWT menentukan segala-galanya. Tindakan Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan telah memberi laluan kepada UMNO untuk kembali menduduki kerusi Menteri Besar.

Tetapi Bersatu tidak ada masalah kerana Hasni mendapat sokongan majoriti ADUN biarpun dengan kelebihan dua kerusi. Ia memungkinkan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar dan paling penting penuh ketenangan.

Walaupun Hasni tidak menandatangani sebarang perjanjian kerjasama (CSA) dengan pakatan pembangkang namun pakatan tersebut tidak menjadikan kedudukan majoriti tipis dalam kerajaan negeri sebagai ‘senjata’ untuk menggugat Hasni.

Tindakan Hasni melaksanakan konsep libat urus atau kerjasama kekal bagi menjamin kestabilan politik berjaya mengelakkan sebarang kemelut. Beliau juga bertindak memberikan peruntukan sama ada kepada semua ADUN tidak kira pembangkang mahupun kerajaan termasuklah persediaan bagi perayaan-perayaan besar di kawasan DUN masing-masing dalam Bajet 2022.

Bagaimanapun ketenangan itu bagaikan tergugat dan mahu digugat, biarpun sudah ada jaminan daripada parti dalam kerajaan mahupun pembangkang untuk mempertahankan kepemimpinan Hasni sehingga PRU-15.

Segalanya bermula apabila ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian kembali ke rahmatullah pada 21 Disember lalu sekaligus memungkinkan Hasni terpaksa memimpin kerajaan negeri dengan kelebihan satu kerusi di DUN.

Benar! Satu kerusi amat tipis, sebuah kerajaan bukan sahaja boleh tumbang dalam satu malam, malah dalam sejampun boleh tumbang jika ada mana-mana ADUN kerajaan membuat keputusan menarik sokongan.

Tetapi Bersatu sudah memberi jaminan akan mempertahankan Hasni, Pas pun sama malah ADUN Puteri Wangsa daripada Bersatu, Mazlan Bujang yang dikaitkan akan bertindak menjadi ADUN Bebas sehingga boleh membuka kepada laluan PRN Johor juga sudah menafikan desas-desus yang mengaitkan nama beliau dalam percaturan tersebut.

Jadi isu atau soalnya, siapa yang mengganggu atau apa yang mengganggu Hasni sehingga beliau seolah-olah ‘terjebak’ dalam desas-desus kemungkinan PRN Johor diadakan? Adakah benar kelebihan satu kerusi itu mengganggu Hasni? Atau ‘ada gangguan’ daripada Kuala Lumpur?

Penulis faham sememangnya mentadbir dengan kelebihan satu kerusi ‘agak mengerikan’ tetapi  setakat ini kesemua parti dalam kerajaan sudah memberi jaminan akan menyokong Hasni hingga habis penggal, pembangkang pula turut tidak berminat mahu menggugat atau mengganggu Hasni.

Ia kerana kesemua mereka faham sekarang bukannya masa untuk menyeret rakyat ke medan pilihan raya ketika mereka mahu bernafas semula selepas pandemik Covid-19 dan sebahagian pula menjadi mangsa banjir.

Jadi siapa yang mengganggu Hasni? Apatah lagi Hasni sendiri dalam kenyataan terbarunya menegaskan, ‘’ ‘’Seingat saya sebagai Menteri Besar, saya tidak pernah mengumumkan sebarang keputusan selain daripada melihat dan meninjau sebarang kemungkinan apabila Kerajaan Johor hanya memiliki satu majoriti sahaja. Itulah keadaan yang masih ada pada hari ini.’’

Kalau begitulah pendirian beliau, kenapakah Hasni tidak diizinkan terus mentadbir Johor sehingga PRU-15 diadakan? Adakah Hasni ‘diganggu’ oleh perancangan politik mana-mana pemimpin UMNO di peringkat pusat yang teruja selepas kemenangan di Melaka?

Atau adakah Hasni mahu ‘diseret’ untuk terlibat dalam agenda politik pemimpin pusat yang berhasrat menjadikan PRN Johor sebagai medan untuk ‘melumpuhkan’ perjalanan parti Bersatu yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Presiden parti itu dan juga ADUN Gambir dengan memastikan beliau dan parti tersebut kalah di negeri itu?  Penulis hanya bertanya…janganlah marah.

Jika mana-mana pemimpin UMNO tidak ada hasrat sedemikian, usahlah menjadikan kelebihan satu kerusi itu sebagai alasan. Berilah kepercayaan kepada Hasni untuk mentadbir Johor dengan tenang, bukannya mahu menyeret beliau untuk terjebak dalam ‘percaturan’ politik mana-mana pemimpin di peringkat pusat.

Hasni sudah membuktikan dengan kelebihan dua kerusi beliau telah mentadbir Johor hampir dua tahun dengan tenang. Kenapa tiba-tiba mahu mengganggu ketenangan tersebut?

Penulis tidak pasti apa sentimen atau perasaan rakyat Johor jika PRN mahu diadakan, tetapi berdasarkan situasi semasa berikutan ancaman pandemik Covid-19 masih ada dan ada antara mereka ditimpa musibah banjir yang pastinya memerlukan masa berbulan-bulan untuk kembali kepada kehidupan biasa, desas-desus untuk mengadakan PRN dalam tempoh terdekat bukanlah tindakan bijak.

Mana-mana pemimpin politik yang cuba mencetuskan PRN ketika rakyat masih lagi susah dan berhadapan dengan pelbagai keperitan, sememangnya mereka adalah kelompok kemaruk kuasa semata-mata.

Apa salahnya menanti setahun setengah sahaja lagi untuk PRU-15, ketika itu bertarunglah habis-habisan untuk menguasai Johor tetapi sekarang bukan masanya kecualilah ada agenda tersembunyi mahu menjadi PRN di Johor ibarat ‘sambil menyelam minum air’, kalahkah Muhyiddin di negeri kelahirannya kemudian desak  Perdana Menteri Datuk Seri Ismail mengadakan PRU-15 pula. Semoga rakyat Johor tidak diseret dalam percaturan ini – jika itu niatnya!