KES saman fitnah yang melibatkan Siti Nordiana terhadap lima individu termasuklah penyanyi Syura Badron pada tahun lalu sehingga kini masih hangat diperkatakan.

Dakwaan memfitnah dan mengaibkan di media sosial dilihat bukanlah jalan penyelesaian bagi meluahkan rasa tidak puas hati yang terbuka dalam hati.

Malah, menurut Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron,36, dia menafikan menyimpan perasaan cemburu terhadap kejayaan Siti Nordiana selain menolak dakwaan senjaga mencari publisiti.

“Saya tak pernah terfikir pun untuk naikkan nama. Apatah lagi dengan kontroversi yang tidak baik. Bagi saya, apa yang berlaku ada sebab.

“Kita pun tak boleh nak cakap lebih sebab benda dah jadi. Ramai kata saya cemburu dengan kejayaan Nana. Tapi tidak sekali-kali ada perasaan cemburu.

“Macam mana pun, saya bersiap sedia dengan apa yang bakal berlaku. Terima dengan hati terbuka dan berharap satu keputusan yang baik,” ujarnya menerusi laporan mStar.

Malah, pelantun lagu Nazam Berkasih itu mengakui menerima mesej hinaan serta kutukan di akaun media sosial miliknya sepanjang tempoh enam bulan kontroversi itu terjadi.

Meskipun hampir 20 tahun berada dalam industri seni, Syura tidak dapat menangkis rasa terkilan selain turut mengalami tekanan dengan kata-kata nista daripada netizen.

“Sudah enam bulan isu ini dan sememangnya saya ada menerima kecaman. Bukan saja di ruangan komen tapi ada juga netizen yang mesej secara peribadi di Instagram.

“Komen-komen negatif dan melampau sehingga melibatkan maruah. Walaupun saya dah jadi artis hampir 20 tahun, tapi emosi tetap terganggu dengan komen melampau.

“Bila saya rasa ‘down’, kawan-kawan la tempat saya untuk lepaskan tekanan. Bersyukur ada kawan-kawan yang banyak bantu dan tanya khabar,” katanya.

Buat info, Siti Nordiana telah memfailkan saman berjumlah RM2.5 Juta terhadap lima individu termasuk penyanyi Lan Solo dan Syura pada 3 Ogos tahun lalu atas dakwaan masing-masing telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.