SELEPAS lebih setahun tertunda, Konsert Nafas Cinta Khai Bahar akhirnya bakal bertemu peminat pada 12 Februari secara hybrid fizikal dan virtual yang bertempat di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), jam 9 malam.

Menurut pemilik nama Muhammad Khairul Baharuddin atau Khai, 27, sambutan konsert sulungnya amat menakjubkan apabila 300 tiket secara fizikal habis dijual dalam tempoh beberapa jam dilancarkan sehingga membuatkan dirinya memanjatkan rasa syukur.

“Alhamdulillah, saya tidak menjangka tiket boleh habis dengan begitu pantas. Sejujurnya, saya hilang kata-kata apabila dimaklumkan perkara ini. Apa saya boleh katakan, peminat yang membeli tiket ini, anda memang luar biasa.

“Saya juga nak berterima kasih kepada semua yang sudah membeli tiket. Bagi saya, ini adalah tanda sokongan anda buat saya yang mana tanpa jemu dan tidak pernah putus asa menyokong kerjaya saya.

“Walau apa saya buat, baik dalam nyanyian atau lakonan, anda semua tetap ada bersama saya,” ujar pelantun lagu Luluh ini.

Khai Bahar bersama dari kiri Noor Azmi (Pengarah MyCreative Venture) dan Rosmin Hashim (Pengarah Urusan Nova Music) di sidang media Konsert Nafas Cinta Khai Bahar

Tambah penyanyi yang mula mencipta nama menerusi aplikasi Smule ini, dia tidak merasa ragu-ragu untuk membuat konsert pertamanya meskipun pernah berdepan dengan dugaan pembatalan konsert terdahulu.

“Sebenarnya saya tak ragu-ragu dengan peluang yang datang. Terutamanya peluang yang sekarang ini untuk mengadakan konsert. Dan saya harap perkara lepas itu, bukan ada rezeki saya dan ada hikmahnya.

“Sebab setiap peluang itu kita tak boleh nak jangka benda itu boleh terjadi ataupun tidak. Insya-Allah semoga semuanya akan berjalan dengan lancar,” katanya kepada URTV.

Walaupun baru menginjak tahun keenam dalam dunia seni, Khai yang berpeluang mengadakan konsert pertamanya ini mengaku bahawa dia tidak pernah mendengar sebarang kata-kata negatif yang dilontarkan oleh penyanyi lama.

“Khai tak pernah dengar lagi mana-mana penyanyi ‘senior’ yang mengatakan saya masih awal lagi (untuk membuat konsert). Saya anggap ini peluang dan rezeki saya. Saya pernah juga pergi ke konsert Aina Abdul dan dari situ saya terfikir bila pula nak ada konsert sendiri.

“Bila ada peluang begini, sedikit sebanyak saya belajar dari konsert sebelum ini. Saya perlu kerja keras untuk memberikan yang terbaik. Dari segi kelas vokal Insya-Allah, akan ada dan untuk mantapkan stamina itu sudah menjadi rutin harian saya,” ujarnya yang turut mengajak peminat untuk memilih lagu untuk konsertnya melalui undian di media sosial.

Dalam perkembangan lain, Khai turut memaklumkan dia kini sedang dalam proses pembikinan album terbaru.

“Insya-Allah ada album baru. Ada enam lagu di dalamnya, di mana tiga lagu adalah baharu dan lagi tiga adalah lagu yang sebelum ini,” kongsinya.

Khai ditemui di sidang media konsert Nafas Cinta Khai Bahar yang diadakan di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada petang Khamis (semalam).

Khai yang bakal menyanyikan 15 buah lagu di konsert itu turut menampilkan dua penyanyi jemputan iaitu Aina Abdul dan Adira Suhaimi serta penyanyi baru iaitu Ahmad Syafiq, Farra Ahmad dan Syeera Aziz yang menjadi artis pembuka tirai konsert.

Tiket tontonan secara virtual boleh dibeli dengan harga RM19.90 (13 hingga 27 Januari) dan RM29.90 (28 Januari hingga 12 Februari).