PENYANYI Aisha Retno memaklumkan walaupun statusnya sebagai pelajar tahun akhir dalam di Universiti Malaya, ia tidak menjadi penghalang buat dirinya menyertai program realiti Big Stage 2022.

Menurut pemilik nama penuh Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 22, menjadi peserta untuk program realiti itu adalah impiannya dan meluahkan rasa syukur akhirnya diberi peluang untuk menonjolkan bakatnya.

“Alhamdulilah Aisha bersyukur dan sangat teruja. Big Stage adalah salah satu impian utama Aisha walaupun banyak lagi perkara yang Aisha dah kecapi sebelum ini.

“Aisha tidak akan menganggap belajar adalah satu halangan untuk buat yang terbaik di Big Stage.

“Pada masa sama, ia juga bukan penghalang bagi Aisha untuk fokus dalam pelajaran,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada sidang media Big Stage 2022, semalam.

Tambah penyanyi lagu W.H.U.T ini, dia tetap mengutamakan pelajaran meskipun sudah bergelar penyanyi kerana menganggap ilmu tidak akan pernah ada tarikh luput.

“Tipulah perkara ini tidak menganggu walaupun pelajaran Aisha, tetapi Aisha selalu tetapkan dalam minda, apa pun yang kita minat, jangan sesekali abaikan pengajian.

“Sejujurnya Aisha ada ketinggalan dan akan berusaha tanya kawan-kawan yang lain. Aisha perlu bijak membahagikan masa sebagai seorang pelajar dan penyanyi.

“Aisha akan pastikan apabila dah pilih jalan sebegini, Aisha boleh buat dua kerja dalam satu masa,” ujar pelajar Sarjana Muda dalam jurusan Ekonomi itu lagi.

Dalam pada itu, Aisha yang merupakan bekas Juara Rookie bagi program Vokal Mania 2020 ini tidak mahu meletakkan dirinya di zon selesa dan menganggap semua peserta yang bertanding memiliki kelebihan tersendiri.

“Saya tidak mahu berasa terlalu selesa selepas orang kata saya adalah pesaing yang kuat. Aisha anggap semua peserta satu taraf dengan Aisha, sama-sama bertanding di Big Stage dan mahu rangkul gelaran juara.

“Sudah semestinya tekanan itu ada, orang kenal Aishah menerusi Vokal Mania dan mereka akan memberi tanggapan yang tinggi kepada Aisha.

“Tapi Aisha hanya fikir, mahu buat yang terbaik di pentas Big Stage ini dan jangan risau akan apa-apa halangan dan cabaran,” akhirinya.

Untuk info, Aisha merupakan salah seorang artis naungan Sony Music Malaysia dan telah dinobatkan sebagai Juara Rookie bagi program realiti Vokal Mania terbitan TV3 pada 26 Disember 2020.

Bukan itu sahaja, dia turut menjadi Calon Top 5 kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34.