
SERAMAI 10,000 pekerja asing dari Indonesia dijangka dibawa masuk menerusi projek rintis pengambilan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) bulan hadapan.
Projek tersebut dijangka dilaksanakan seminggu selepas memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengambilan dan penempatan PDI ditandatangani kedua-dua negara pada 7 dan 8 Februari depan di Bali.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, projek rintis itu amat penting dan signifikan untuk menilai keberkesanan pelaksanaan MOU.
Pada masa sama, kata beliau, ia boleh menambah baik sebarang kelemahan yang timbul.
“Pihak Indonesia juga bersetuju membenarkan kemasukan 10,000 tenaga kerjanya untuk sektor perladangan.
“Ini adalah sebagai permulaan kepada pengambilan 32,000 pekerja warga asing dalam sektor perladangan secara pengecualian khas sebagaimana keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 April 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Saravanan, keputusan itu dimeterai susulan pertemuan dengan rakan sejawatnya iaitu Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah di Jakata, semalam.
Baca artikel berkaitan: Sekat ejen haram bawa masuk pekerja asing
Menerusi pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju MoU itu ditandatangani pada 7 dan 8 Februari di Bali sebagaimana yang telah dibincangkan sebelum ini.
Saravanan memaklumkan, MoU berkenaan telah dipersetujui termasuk isu-isu utama seperti Satu Amah Satu Rumah, Satu Sistem Saluran dan gaji PDI.
Katanya, perbincangan berhubung Satu Amah Satu Rumah telah dipersetujui untuk menggantikan cadangan Satu Amah Satu Tugas di mana satu PDI boleh digajikan bagi isi rumah tidak melebihi enam orang.
“Satu Sistem Saluran pula telah dipersetujui oleh kedua pihak sebagai saluran tunggal kemasukan PDI ke Malaysia.
“Isu berhubung struktur kos pengambilan akan dikaji setiap enam bulan bagi memastikan ia seiring dengan perkembangan semasa mengambil kira antaranya seperti kos penerbangan dan kuarantin,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram