MERAQUE Services Sdn Bhd (Meraque), syarikat teknologi dron Malaysia bekerjasama dengan Kelab Remaja Udara Malaysia (KRUM), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan pejabat penyelaras Parlimen Tenggara bagi melahirkan bakat-bakat muda yang dapat memenuhi permintaan industri dron yang semakin berkembang di negara ini.
Dalam usaha melatih belia yang meminati bidang kerjaya dalam industri dron, Program Pembangunan Kerjaya, Teknologi Dron Generasi Muda Malaysia selama dua hari dianjurkan hari ini.
Program itu dikendalikan Meraque, penyedia perkhidmatan teknologi dron ke-19 terbaik dunia pada 2021 mengikut perunding penyelidikan pasaran dari Jerman, Drone Industry Insights. Syarikat tersebut juga kini dalam perancangan mengembangkan perniagaan ke Indonesia.Â
Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md Razalee Ismail berkata, melalui program latihan dan kemahiran yang disediakan, sebanyak 500 belia akan dilatih menjelang 2023 oleh Meraque dengan ilmu kemahiran industri tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md Razalee Ismail berkata, dengan cita-cita Malaysia untuk menjadi pemain utama dalam industri dron global serta menjadi hab teknologi tersebut di rantau ASEAN, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan bilangan pekerja mahir dalam sektor tersebut di negara ini.Â

“Program pembangunan kerjaya ini merupakan langkah pemangkin dalam memastikan terdapat kumpulan tenaga kerja dengan kemahiran yang betul untuk membantu pertumbuhan industri yang sedang meningkat ini. Program ini juga melambangkan komitmen Meraque untuk menjadi sebuah syarikat yang mempelopori pembangunan modal insan dalam industri teknologi dan pembuatan untuk bakat-bakat muda tempatan, termasuk di kawasan Parlimen Tenggara.
“Kemajuan dalam industri dron berubah dengan pantas dan kita mesti sentiasa bersedia. Kami akan berusaha untuk memastikan generasi muda negara dapat menyesuaikan diri dalam anjakan teknologi ini dan seterusnya merebut peluang yang ditawarkan dalam pasaran.
“Sokongan daripada rakan kongsi dan kerajaan dalam program ini akan membantu melengkapkan, menyokong dan meningkatkan keupayaan golongan belia mengikuti kursus yang inovatif ini dan seterusnya dilengkapi dengan kemahiran zaman baharu. Ia akan menyediakan mereka untuk memasuki pasaran pekerjaan dalam industri dron di dalam dan luar negara. Sukatan pelajaran di dalam kursus ini juga akan memperkenalkan belia negara kepada dunia dron dan melatih mereka dalam semua aspek industri,” tambahnya.
Selain daripada menjalankan latihan, program tersebut turut akan mengadakan pameran dan demonstrasi dron berasaskan pertanian. Program itu mendapat kerjasasama dari rakan korporat dan syarikat berkaitan kerajaan seperti Boustead Holdings, Felcra, Kejora, FGV, Sime Darby, Edotco, MRCB dan DBKL.
Program Pembangunan Kerjaya Teknologi Dron Generasi Muda Malaysia telah dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba, yang turut berkongsi pandangan mengenai kepentingan inisiatif ini ketika negara sedang menceburi secara mendalam ke dalam era Revolusi Perindustrian keempat.
Beliau berkata, negara menyedari mengenai aplikasi teknologi dron yang kini digunakan secara meluas – daripada meningkatkan kecekapan dalam bidang pertanian kepada perubatan dan logistik dan seterusnya memberikan teknologi alternatif yang lebih selamat, murah dan cekap.
Katanya, perkembangan ekosistem dron dijangka akan menyaksikan pertumbuhan pesat dan seterusnya mewujudkan permintaan besar untuk mereka yang mempunyai bakat dalam bidang tersebut.
“Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, langkah-langkah proaktif mesti dipertingkatkan untuk belia kita merebut peluang dalam industri dron dunia dan seterusnya membuka kunci kekayaan ekonomi baharu untuk negara.
“Saya menggalakkan belia Malaysia merebut peluang ini. Berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan mempelajari kemahiran teknologi dalam bidang baharu seperti dron akan mempertingkatkan keupayaan dan daya saing anda bagi memacu kemajuan negara.
“MOSTI bersama agensinya akan menyokong program ini bagi merealisasikan wawasan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi. Saya berharap lebih banyak syarikat akan bergabung dengan kerajaan untuk membina negara menggunakan penyelesaian teknologi yang mampan dan menyokong komitmen negara terhadap rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” tambah Dr Adham.
Industri dron telah berjaya menarik minat ramai dengan pasaran dron global diramalkan mencapai AS$41.3 bilion pada 2026 menurut Drone Market Report 2021-2026.
Pada September 2021, kerajaan Malaysia melancarkan Area 57, zon pembangunan dron di Taman Teknologi Malaysia di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan tiga kawasan pembangunan dron lain dikenal pasti iaitu Felda Mempaga di Pahang; Dron dan Robotik Iskandar di Johor; dan Urban Delivery Drone di Cyberjaya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

