PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengadakan mesyuarat khas membincangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Sabtu lalu.
Memetik laporan BH Online, mesyuarat diadakan di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam itu dipengerusikan Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Bersatu Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mesyuarat khas bermula pukul 4 petang tadi itu turut dihadiri 26 pemimpin bahagian Bersatu Johor termasuk Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.
Namun begitu, setakat ini belum dapat dipastikan sama ada sidang akhbar akan diadakan sejurus selepas mesyuarat berkenaan selesai.
Ahad lalu, Dr. Sahruddin memaklumkan Bersatu Johor akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan secara terperinci persiapan PRN susulan pembubaran DUN.
Menurut Dr. Sahruddin, mesyuarat itu akan membincangkan beberapa perkara berkaitan termasuk persiapan dan persediaan jentera bagi menghadapi PRN Johor.
Baca artikel berkaitan: Bersatu Johor bincang persiapan hadapi PRN masa terdekat
Selain itu, kata Dr. Sahruddin, pertemuan dan perbincangan bersama Pas dan Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) selaku komponen dalam Perikatan Nasional (PN) Johor juga akan diadakan bagi tujuan sama.
“Bersatu Johor akan bermesyuarat bagi membincangkan secara terperinci bersama Ketua-Ketua Bersatu Bahagian dan jentera pilihan raya negeri,” katanya.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada PRN, Sabtu lalu.
Sultan Ibrahim sebelum itu berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada pukul 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Pada pertemuan bersama Sultan Ibrahim, Hasni turut diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

