INI kisah seorang alim bernama Ibnu Samaak bersama Khalifah Harun Al-Rasyid. Pada suatu ketika Ibnu Samaak menghadiri majlis keraian yang diadakan di istana khalifah.

Sedang Ibnu Samaak duduk memerhati, Khalifah Harun Al-Rasyid datang menghampiri untuk bertanyakan perkembangan semasa. Setelah berbual sekian lama baginda pun berasa dahaga lalu diminta segelas air untuk menghilangkan hausnya.

Sebelum Khalifah Harun Al-Rasyid meneguk air yang dihidangkan kepadanya lalu bertanyalah Ibnu Samaak, “Ya Amirul Mukminin! Seandainya tidak ada air lain dan hanya ada segelas ini sahaja sedangkan orang tidak mahu memberikannya secara percuma kecuali perlu dibeli. Jadi, berapa harganya yang Amirul Mukminin sanggup bayar?

Maka dijawab oleh Khalifah Harun Al-Rasyid, “Aku akan membayarnya dengan separuh daripada kekayaanku.” Lalu Harun Al-Rasyid pun minum air itu sehingga habis.

Setelah menunggu seketika Ibnu Samaak menghulurkan satu pertanyaan lagi, “Wahai Amirul Mukminin. Dan, bagaimana jika air yang telah kamu minum itu tidak mahu keluar dari tubuhmu. Berapakah yang tuanku sanggup bayar untuk mengeluarkannya?”

Pantas Khalifah Harun Al-Rasyid menjawab, “Biarlah habis seluruh kekayaan dan kekuasaan yang aku miliki buat membayarnya asalkan air itu keluar dari tubuhku.”

Maka disambut Ibnu Samaak dengan bijak, “Andai demikian, ya Amirul Mukminin! Apalah yang boleh tuanku banggakan dan megah-megahkan sangat kekayaan serta kerajaan yang luas. Sekiranya, harganya cumalah sekadar segelas air najis yang keluar dari tubuh tuanku.”

Dari kisah itu lalu diungkapkan oleh Hamka bahawa bermegah dengan harta kekayaan adalah satu kebodohan. Sesungguhnya harta tidak akan memberi manfaat kecuali setelah dibelanjakan dan dinafkahkan ke jalannya.

Dan… harta itu ada masanya datang dan sampai tikanya akan pergi juga. Walaupun kuat genggamannya jika bukan milik kita akan terlepas juga. Hari ini ia dimiliki mungkin esok milik orang lain pula. Orang memuja dan menghambakan diri pada harta itu kebodohan, lemah dan tertipu.

Kalau engkau sombong kerana dipuji maka fikirlah pula orang yang mencemuhmu. Jika itu sentiasa di dalam kotak fikiran nescaya hati tidak mampu mengungkap sombong.

Andai kau mengungkapkan… ‘aku tidak ada musuh!’. Berhati-hatilah sesungguhnya dirimu tidak ada nilainya. Tidak ada kedudukan yang paling rendah dan paling tidak menarik perhatian daripada orang yang tidak memiliki musuh. Orang yang tidak ada musuh adalah orang yang tidak pernah mendapat nikmat Allah lantaran tidak ada yang mendengkinya. (sumber Lembaga Budi oleh Hamka).

Firman Allah, “Katakanlah (wahai Muhammad) jika bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (at-Taubah: 24)

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen