PENYANYI Nabila Razali membuat kejutan istimewa buat wartawan cilik yang tular baru-baru ini iaitu Muhammad Haziq Mohd Asyraf dengan membuat panggilan video.

Menerusi Instagram milik Nabila, dia turut berkongsikan panggilan video yang dibuat serta sempat berduet bersama Haziq menyanyikan lagu Peluang Kedua.

“Hari ini saya nak buat panggilan video istimewa kepada adik Haziq yang buat laporan pasal ular sawa yang amat besar tu. Korang mesti tahu kan.

“Dengarnya waktu 2020, adik Haziq ini ada buat kerja seni dan meminati saya. Jadi saya nak ‘video call’ dan nak tengok reaksi dia,” katanya.

Dalam pada itu, Haziq yang menetap di Bukit Selambau, Kedah turut memaklumkan bahawa dia meminati Nabila sejak dua tahun yang lalu.

Malah, Haziq turut berkongsi kepada Nabila bahawa dia bercita-cita untuk menjadi seorang cef apabila sudah dewasa disebabkan meminati bidang kulineri.

Malah, Nabila juga mendoakan agar segala impian Haziq tercapai dan menjadi anak yang baik.

“Saya doakan semua impian Haziq tercapai dan menjadi cef terkemuka seluruh dunia. Jadi anak yang soleh dan belajar rajin-rajin,” katanya.

Nabila turut meluahkan hasratnya untuk bertemu dengan kanak-kanak berusia 12 tahun itu jika diberi kesempatan.

“Dia sangat petah bercakap dan sangat terhibur dengan keletahnya terutama video ular sawa. Memang tak pernah sangka kehebatan hadir daripada seorang kanak-kanak.

“Jika ada rezeki, saya memang nak jumpa Haziq dan juga lupa tempah kek dengannya,” kata Nabila lagi.

Buat info, adik Muhammad Haziq mula menerima perhatian ramai apabila videonya melaporkan berita tentang penemuan ular sawa menjadi tular sehingga ramai yang memuji bakatnya dalam bidang pengacaraan.