kajian lelaki lebih jahat
Sekadar gambar hiasan

Dalam sistem badan manusia, terdapat dua hormon dominan yang menghuni tubuh badan. Bagi wanita, hormon estrogen lebih tinggi di dalam badan kerana hormon inilah yang membantu dalam perkembangan dan pertumbuhan karakter seksualiti serta sistem reproduksi.

Manakala bagi lelaki pula, hormon testosteron memberi kepentingan untuk membentuk ciri-ciri fizikal seorang lelaki seperti pertumbuhan misai, suara garau dan banyak lagi.

Lelaki lebih cenderung berbanding wanita untuk bertindak agresif hanya kerana hormon testosteron dan kortisol itu sendiri. Fakta ini turut diakui dalam kajian yang dilakukan untuk satu analisis yang berjudul ‘Hormones and Ethics: Understanding the Biological Basis of Unethical Conduct’ yang ditulis oleh Jooa Julia Lee dan Francessa Gino dari Harvard University bersama Ellie Shuo Jin, Leslie K. Rice dan Robert A. Josephs dari The University of Texas at Austin.

Tidak dapat dinafikan bahawa hormon testosteron juga dimiliki oleh wanita namun ia dalam kadar yang minimum. Dalam skop perilaku ini, hormon testosteron ini lebih dikaitkan dengan menipu.

Jika hormon ini tinggi, maka seseorang itu lebih cenderung untuk menipu. Malah jika hormon ini juga tinggi, ia menyebabkan seseorang itu kurang rasa takut dalam diri dan merasakan ada habuan yang menunggu.

Dari situlah tercetusnya penipuan yang berulang kali kerana keinginan untuk mendapat habuan itu semakin meninggi. Manakala hormon kortisol pula biasanya dikaitkan dengan tekanan.

“Secara amnya, hormon testosteron adalah hormon dominan dalam diri seorang lelaki dan jika ia hadir dalam kuantiti yang berlebihan daripada normal akibat oleh rangsangan tertentu, ia menjadikan kaum lelaki lebih berpotensi berbanding wanita untuk melakukan sesuatu kejahatan,” jelas Dr. Nasrudin Subhi, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Namun Dr. Nasrudin tidak menolak beberapa faktor lain yang turut menjadi punca dan penyebab kepada tercetusnya kejahatan dalam diri seseorang individu. Antaranya adalah faktor persekitaran.

Menurut Dr. Nasrudin, faktor persekitaran ini mungkin melibatkan pengaruh rakan-rakan. Silap pilih kawan, silaplah percaturan hidupnya yang mana mungkin pengaruh rakan-rakan lebih menjurus kepada perkara negatif.

Selain itu, faktor tempat tinggal juga memainkan peranan dan berpengaruh kepada peningkatan tingkah laku yang negatif. Sebagai contoh, penempatan di kawasan setinggan atau miskin bandar sebenarnya mengundang kepada tekanan dari sudut ekonomi sehingga mendorong seseorang itu berbuat jahat seperti mencuri demi kelangsungan hidup.

Bukan itu sahaja, ekoran daripada kehidupan yang tidak menentu, ramai yang terjebak dengan bahan-bahan terlarang seperti dadah. Sebenarnya pengambilan dadah dapat mengurangkan rasa takut, akhirnya menyebabkan individu terbabit berani untuk terus melakukan perkara-perkara yang dilarang dan melanggar peraturan.  

Tahap pendidikan seseorang juga memainkan peranan dalam mencetuskan kejahatan dalam diri seseorang. Lazimnya mereka yang rendah latar belakang pendidikan akan terdedah kepada aktiviti jahat. Mereka yang lemah dalam pelajaran biasanya akan tercicir dan berlaku kes-kes ponteng dan berkawan dengan mereka yang mempunyai pengaruh tidak baik.

Begitu juga dengan faktor keluarga yang mana keluarga yang berpecah belah, mempunyai hubungan yang renggang antara ahli keluarga dan sering berbalah serta pengabaian, mendorong kepada kewujudan aura kejahatan.

Bagaimana ia berlaku? Ambil sahaja contoh ibu bapa yang sibuk bekerja dan mereka mengabaikan nafkah dan naluri anak-anak. Maka anak-anak akan mengambil jalan pintas dengan bertindak sendiri kerana kurangnya kawalan ibu bapa. Tambah merunsingkan lagi apabila sudah ada ahli keluarga yang sudah terlibat dalam jenayah seperti adik-beradik yang lebih dewasa. Ia mendedahkan lagi kejahatan kepada ahli keluarga yang masih muda ini,” ujar Dr. Nasrudin.   

Ia Bermula Dari Kecil Lagi

Memang mengejutkan apabila sebenarnya manusia ini sudah membuat kejahatan sejak kecil lagi. Daripada kesalahan yang kecil sehinggalah ia melibatkan kesalahan yang serius.

Mungkin pada mulanya seseorang itu melakukan kesalahan atau melanggar peraturan pada skala yang kecil dan apabila setiap kali percubaan jahatnya berjaya, maka mereka akan terus mengejar yang dikatakan habuan seperti jika mencuri, akan dapat wang dan jika menipu akan terlepas daripada hukuman.

Perkembangan kanak-kanak ibarat span. Mereka akan serap apa sahaja tidak kira negatif ataupun positif. Malah kanak-kanak lebih kepada naluri dan kepuasan fizikal sahaja kerana ketika itu akal mereka belum lagi berkembang.

Justeru itu, mereka perlu bergantung kepada didikan yang diterima sama ada daripada ibu bapa dan guru. Jika kanak-kanak yang konsisten dan cemerlang dari sudut pendidikan, dia akan berkelakuan baik dan sebaliknya jika mereka tidak mendapat pendidikan yang sempurna.

Biasanya dalam kategori jenayah, sikap sebegini bermula pada 12 tahun sehingga 16 tahun. Secara normalnya, itulah yang biasa kita lihat kerana jika dia masih bersekolah rendah mereka masih lagi terikat dengan keluarga dan kurang keberanian.

Namun apabila memasuki sekolah menengah, perasaan mereka berubah dan berasakan sudah besar serta mempunyai kawan yang dapat digunakan sebagai sandaran, jadi tidak mustahil untuk mereka melanggar peraturan yang harus ditepati.

Ia akan berbeza seandainya dia mendapat persekitaran yang bersih serta pendidikan yang sempurna. Secara tidak langsung, dia akan dapat menepis segala aura negatif dengan keputusan yang dibuat secara rasional.  

Sebenarnya melakukan kejahatan ini sama seperti kaedah cuba jaya. Jika sekali dia berjaya buat kejahatan tanpa ada halangan, dia akan terus buat dan buat lagi. Keyakinan diri untuk melakukan tindakan yang jahat itu semakin meningkat. Inilah yang terjadi pada orang yang mula melakukan kejahatan sehinggalah dia mendapat pangkat yang tinggi dalam hierarki kejahatan.”

Haiwan Yang Bertopengkan Manusia

Sesungguhnya orang yang melakukan kejahatan adalah satu kekejaman. Disebabkan oleh itulah, kita sering mendengar ‘haiwan yang bertopengkan manusia’. Apakah relatifnya manusia dan haiwan dalam konteks kejahatan?

Menurut Dr. Nasrudin, ia merujuk kepada perkembangan kognitif. Jika manusia yang dikaitkan seumpama haiwan, itu disebabkan oleh kognitifnya tidak boleh berfikir dengan baik dan emosinya yang tidak berperikemanusiaan.

Haiwan mempunyai otak tapi tidak ada akal, manakala manusia ada otak dan ada akal. Jadi manusia dapat berfikir secara logik dan dapat menimbal balik segala keputusan sama ada ia baik atau buruk. Begitu juga emosi, manusia dapat mengawalnya sekiranya dia masih sedar dan dapat mengawalnya dengan baik.

Akan tetapi jika segala-galanya sudah kacau, maka tidak hairanlah jika dikatakan personalitinya berubah dan bertindak kejam. Maka dia perlu rasionalkan kembali pemikirannya dan dalam sudut psikologi, situasi ini boleh dibantu dengan terapi perilaku kognitif. Di sinilah pentingnya fikiran dan emosi saling berkaitan demi melahirkan manusia yang lebih berkualiti,” jelas Dr. Nasrudin.

_________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare