PERSATUAN Pengguna Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong ketegasan dan campur tangan kerajaan walaupun pihak penternak meminta harga ayam di ladang dinaikkan yang pastinya mempengaruhi harga pasaran sehingga mencecah melebihi RM10 sekilogram.
Presidennya, Mohideen Abdul Kadir berkata, CAP dalam hal ini mengalu-alukan tindakan kerajaan untuk bertindak menstabilkan harga barangan seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Isnin lalu.
Menurut beliau, CAP turut hadir di dalam mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan diberi ruang untuk menyampaikan pandangan di dalam mesyuarat tersebut.
“Kami menyambut baik keputusan kerajaan menetapkan harga siling runcit ayam pada harga RM8.90 di Semenanjung walaupun kerajaan terpaksa menyediakan subsidi bagi menampung harga tersebut untuk pengguna.
“Oleh yang demikian kami berpandangan positif terhadap keputusan kerajaan mengekalkan harga telur gred A, B dan C pada harga Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) terkini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, jelas Mohideen, CAP berpendapat kerajaan perlu memantau dan menerima aduan dari pengguna jika didapati peniaga menaikkan harga.
“Pengguna pula perlu menggunakan saluran yang betul apabila mendedahkan terdapat peniaga yang cuba meraih keuntungan berlebihan,” jelasnya.
Baca: Intervensi kerajaan jamin kestabilan harga ayam – KPDNHEP
Harga siling ayam RM8.90 – PM
Dalam pada itu, kata Mohideen, CAP juga berpendapat kerajaan perlu melihat secara serius keperluan mewujudkan pengeluaran makanan ternakan di dalam negeri untuk mengekang isu input makanan haiwan dari luar negara yang mahal.
Pada masa sama, katanya, CAP berpendapat langkah membenarkan pihak pasar raya besar mengimport ayam bulat dengan syarat pematuhan terutama dari segi halal dan kesegaran serta kebersihan adalah langkah jangka pendek.
“Namun pendekatan yang terbaik adalah untuk memperkukuhkan pengeluaran dalam negara secara lestari,” katanya.
Dalam kenyataan itu, Mohideen berkata, CAP bersetuju dengan tindakan kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) untuk melaksanakan kajian dan siasatan berterusan agar tidak wujud kartel harga serta manipulasi orang tengah dalam industri pengeluaran dan bekalan ayam.
“Pihak berkuasa yang berkenaan perlu menyegerakan penyelidikan berkenaan alternatif makanan ayam supaya negara tidak diancam dengan harga jagung, soya dan ubat-ubatan yang sekarang ini 100 peratus diimport dari negara luar.
“Kami menyarankan agar pihak kerajaan benar-benar menilai kembali penggunaan tanah dengan memberi penekanan kepada soal pengeluaran makanan asas. Pergantungan kepada import makanan dari luar negara harus diatasi dengan segera,” jelasnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

