AKU seorang penggemar teater. Sejak dulu jika ada pementasan teater yang menarik, aku takkan ketinggalan untuk pergi menonton.

Teater ini banyak kenangan dalam hidup aku. Semasa aku bergelar siswazah di sebuah universiti dahulu, aku seorang yang aktif dalam pementasan teater.

Ada satu kisah yang berlaku semasa aku belajar dahulu, lebih 10 tahun lalu. Aku ingat lagi waktu itu aku dan rakan-rakan sedang sibuk menjalani latihan untuk pertandingan sebuah pementasan teater.

Kisah yang akan kami pentaskan itu berlatar belakang pada zaman awal tahun 1990-an. Aku terlibat sebagai kru dan bertugas untuk bahagian wardrobe.

Suatu malam selepas waktu Isyak, kami menjalani latihan seperti biasa. Watak hero dan heroin dilakonkan oleh Alia dan Hakim. Pengarah ketika itu menyuruh aku menyiapkan baju pengantin yang akan dipakai oleh mereka berdua.

Ada dua pasang baju pengantin, rasanya era 80-an yang kami pinjam dari sebuah muzium untuk pementasan ini. Baju itu pun baru kami ambil tengari tadi.

Ia baju tradisional zaman dulu. Baju perempuan seperti baju kurung biasa, cuma potongan badannya agak besar dan lurus seperti baju kurung Kedah, mempunyai butang tersusun kemas dari atas ke bawah. Terdapat labuci dan manik yang menghiasi hujung lengan dan bawah bajunya.

Untuk baju lelaki pula, sekali lihat seperti baju perempuan. Labuhnya kurang sedikit, cuma dipadankan dengan seluar. Kolarnya seperti baju ceongsam. Ada hiasan labuci dan manik pada bahagian lengan baju.

Baju ini memang kami pinjam khas untuk babak perkahwinan. Ada dua pasang, sepasang berwarna putih dan sepasang lagi berwarna merah darah.

Untuk latihan malam itu, kami siapkan pelakon dengan pakaian pengantin berwarna putih. Latihan berjalan seperti biasa.

KEESOKANNYA malam kedua, seperti biasa kami berlatih lagi. Untuk malam ini, pelakon kami pasangkan dengan pakaian pengantin yang kedua, yang berwarna merah.

Aku berikan baju pengantin perempuan untuk Alia pakai. Bila Alia keluar dari bilik persalinan siap berpakaian, wajahnya asyik tersenyum.

“Cantik, kan?” kata Alia sambil berpusing-pusing di depan aku, menunjukkan baju yang dipakainya itu.

“Eh, butangnya dekat belakang ya?” spontan aku bertanya. Semalam semasa persalinan putih, aku bantu Alia pakai baju itu dengan bahagian butang baju terletak di bahagian depan.

Alia anggukkan kepala. Dalam senyum dia menjawab, “Macam inilah kedudukan butang yang betul. Busana ni butang harus di belakang. Barulah betul cara pakainya.” Bermakna semalam aku tersalah cara memakaikan pakaian tersebut. Yalah, aku mana perasan. Sama ada butang itu di depan atau di belakang, kedua-dua bahagian nampak sama saja.

Entah kenapa malam itu, aku rasa lain macam bila melihat Alia. Wajahnya asyik tersenyum. Kelakuannya agak ganjil, bukan seperti biasa. Masa berborak pasal baju itu, dia asyik sebut ‘busana’. Dah kenapa sebut ayat macam orang dulu-dulu? Pelik aku rasakan.

Bila latihan baru saja bermula, tiba-tiba lampu dalam bilik latihan kami terpadam semuanya. Dalam keadaan yang riuh rendah itu, kami semua bergerak ke luar dewan. Ketika itulah kami terdengar suara tangisan. Rupa-rupanya, Alia tiba-tiba sahaja menangis teresak-esak.

Aku dan seorang rakan bernama Anna yang berada tidak jauh terus menghampiri Alia. Baru saja mahu bertanya, tiba-tiba Alia menjerit-jerit macam orang histeria. Kuat tempikannya sehingga satu dewan terkejut.

Kami lekas memegang badannya yang tiba-tiba meronta. Kuat betul Alia padahal tubuhnya kecil saja. Bagai ada kuasa lain dalam badannya.

Alia terus menjerit dan meronta. Orang ramai sudah mula berkerumun di kawasan kami. Punyalah panik keadaan ketika itu sampailah ketua pengurusan busana, Azri tiba di hadapan pintu dewan.

“Kau! Semua salah kau!” tiba-tiba suara Alia berubah. Wajahnya bengis memandang Azri. Aku pun terkejut dengar. Bunyi suaranya seakan mengaum.

“Kau ambil busana aku dengan biadab. Kau tak jaga baik-baik!” mata Alia menjegil memandang Azri. Ketika itu kami mula faham. Yang bercakap itu bukan lagi Alia.

“Kau biarkan busana aku! Kau biarkan dipakai cara salah. Labuci busana aku tercabut. Kau tak jaga!” jerit Alia sambil meronta-ronta. Ah, masa tu aku saspen jugak. Yalah, aku yang tersalah pakaikan baju itu.

Kamal, salah seorang team wardrobe kami telah mengambil baju pengantin yang berwarna putih. Baju yang dipakai Alia semalam. Kamal tunjukkan baju putih itu pada Alia. Bila pandangan Alia dan Kamal bertembung, tiba-tiba Kamal terus tumbang. Kami semakin panik di situ. Huru hara jadinya.

Kamal kami pindahkan ke surau. Ramai juga yang sudah lari naik ke bilik masing-masing kerana ketakutan. Tinggal beberapa orang sahaja lagi dengan Alia, termasuk aku.

“Aku akan pulangkan baju kau esok. Tapi tolong keluar dari tubuh kawan aku ni,” kata Azri, ketua pengurusan busana, cuba berdiplomasi dengan benda yang merasuk Alia.

“Kalau tuan hamba pulangkan semula busana hamba, barulah hamba keluar. He he he…,” suara Alia tiba-tiba lembut. Dia ketawa kecil seakan mempersendakan kami.

Sambil Azri cuba berdiplomasi dengan makhluk di dalam tubuh Alia itu, aku dan beberapa orang rakan membantu Alia menukar pakaian. Masa itu, dia sudah tidak meronta dan tidak banyak bergerak. Mudah untuk kami menukar bajunya.

Hampir pukul 4.00 pagi, ketua teater kami membuat keputusan drastik. Kami tak mahu Alia jadi semakin teruk. Dua pasang baju pengantin yang dipinjam itu akan dipulangkan masa itu juga.

Baju itu dipinjam dari sebuah muzium. Pegawai muzium telah dihubungi dan dimaklumkan keadaan yang berlaku. Dinihari itu juga kami terus memecut membawa baju itu dan juga Alia ke muzium tersebut.

Sebaik tiba di perkarangan muzium dan Alia menjejakkan kaki ke tanah, dia tiba-tiba rebah. Tak lama kemudian, Alia sedar dalam keletihan dan terpinga-pinga tidak tahu apa yang sudah berlaku. Ketika itu kami tahu makhluk itu sudah keluar dari badan Alia.

Selepas beberapa siri perbincangan sepanjang minggu itu, akhirnya kami sepakat untuk menarik diri dari pertandingan teater tersebut. Biarlah, ada yang lebih berharga yang harus kami jaga daripada pementasan itu.

Mujurlah Alia dan Kamal pulih, tidak lagi diganggu selepas kejadian itu. Aku pun tarik nafas lega jugak. Yalah, nasib baik aku tak kena rasuk sebab aku yang pasangkan baju tu dengan cara salah.

Baju itu pula sudah dikembalikan kepada muzium. Apa yang aku dengar selepas dikembalikan, baju itu tidak lagi dipamerkan. Tidak tahulah sekarang di mana baju pengantin itu. Apakah sudah berpindah ke tempat lain? Mungkin masih menjadi bahan pameran? Aku pun tak tahu.

Cuma apa yang membuat aku tertanya-tanya, milik siapa busana pengantin lama itu sehingga ‘dia’ begitu marah dengan kami?

***Catatan pengalaman oleh Fatin, Selangor.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en