Alkisahnya di Sarawak hidup seorang pemuda Bidayuh bernama Kaleng Buran. Kaleng digambarkan seorang pemuda yang gagah dan tampan, menjadi kegilaan ramai gadis.

Pun begitu, Kaleng sudah memiliki kekasih hati, seorang gadis bernama Sipira. Saling mencintai, mereka berdua dikahwinkan.

Setelah berkahwin, Sipira berasa pelik dengan suaminya. Apabila bulan bercahaya, Kaleng akan berada di rumah. Tetapi apabila bulan tidak mengambang, Kaleng akan hilang tidak pulang ke rumah.

Keadaan itu membuatkan Sipira sering berasa sangsi terhadap suaminya. Sipira yang cemburu sering marah apabila Kaleng hilang. Apatah lagi suaminya itu seorang yang tampan dan menjadi dambaan ramai wanita. Keadaan ini membuatkan mereka suami isteri sering bertengkar.

Apa yang pelik, Kaleng selalu ghaib apabila bulan tidak mengambang. Hanya tatkala bulan muncul saja, barulah Kaleng menampakkan diri. Sebagai isteri, sudah tentu Sipira sangsi ke mana suaminya menghilang.

Kerana sifat ingin tahu yang meluap ke mana suaminya menghilang, suatu malam Sipira mengekori suaminya diam-diam. Ketika itu baru Sipira tahu suaminya bukan pergi ke mana-mana pun, tetapi hanya bermalam di pondok mereka yang dibina di kawasan sawah.

Tertanya-tanya apa yang dilakukan suaminya, Sipira mengintai suaminya dari celahan dinding pondok tersebut. Ketika itu, dia melihat bagaimana suaminya, Kaleng Buran yang tampan dan gagah telah bertukar menjadi seorang lelaki yang hodoh dan menjijikkan. Seluruh badan Kaleng ditumbuhi luka dan kudis yang keluar ulat.

Melihat keadaan suaminya itu, Sipira berubah hati. Terasa jijik melihat keadaan suaminya itu. Hilang rasa cintanya terhadap suaminya sendiri.

Sipira segera pulang ke rumah dan mengunci pintu supaya suaminya tidak dapat masuk ke rumah. Dia tidak mahu melihat Kaleng Buran lagi.

Manakala Kaleng Buran pula setelah beberapa hari bersembunyi di dalam pondok, dia pulang semula ke rumah setelah bulan mengambang semula. Dirinya juga bertukar kembali menjadi lelaki tampan dan gagah.

Tetapi, dia berasa sedih apabila isterinya tidak mahu membuka pintu. Sebaliknya, Sipira memaksa Kaleng untuk pergi dari hidupnya. Malah, Sipira turut menghina Kaleng dan menuduhnya sebagai penipu kerana mengamalkan ilmu hitam sehingga amalannya itu akhirnya memakan diri sendiri.

Mendengar kata-kata Sipira, tahulah Kaleng bahawa rahsianya sudah terbongkar, namun ia bukanlah seperti yang disangka isterinya itu.

Kaleng cuba memujuk isterinya dan menjelaskan bahawa sejak dilahirkan, dia mempunyai satu penyakit ganjil. Apabila bulan tidak mengambang, tubuh dan wajahnya akan berkudis dan mengeluarkan ulat serta berbau busuk. Sebab itulah dia akan bersembunyi seketika kerana tidak mahu Sipira melihat keadaannya begitu.

Sayangnya, walaupun Kaleng sudah memberi penjelasan dan cuba memujuk, Sipira tetap mahu berpisah.

Kecewa isterinya tidak boleh menerima dirinya seadanya, Kaleng memohon kepada sang dewa agar dirinya dibawa jauh daripada manusia.

Permintaan Kaleng dimakbulkan. Sekelip mata Kaleng diangkat ke langit. Ketika itulah Sipira melihat kelibat suaminya di celah jendela rumah mereka lalu terbit rasa penyesalan dalam dirinya.

Sayangnya, semuanya sudah terlambat. Walaupun Sipira keluar dan merayu agar Kaleng pulang semula ke pangkuannya, hati Kaleng sudah terlalu kecewa.

Sejak itu, Kaleng menjadi penghuni bulan dan digelar ‘manusia bulan’. Hanya ketika bulan mengambang, akan terlihat susuk badannya di permukaan bulan. Manakala isterinya, Sipira yang masih tinggal di bumi terus dilanda rindu berpanjangan, saban waktu menangis dan menyesal dengan perbuatannya ke atas suaminya sendiri.

Akibat perbuatannya itu juga, Sipira juga dihukum oleh sang dewa lalu bertukar menjadi seekor burung pungguk. Ia akan menatap dari jauh sang bulan, dan berbunyi tanda kerinduannya pada suaminya.

Kisah di atas merupakan salah satu cerita legenda masyarakat Bidayuh di Sarawak. Menurut kepercayaan kaum Bidayuh, daripada kisah inilah wujud pepatah lama yang berbunyi ‘bagai pungguk rindukan si bulan’ yang bermaksud kerinduan yang tidak akan terlerai, seperti mana kisah Sipira dan Kaleng Bulan.

Ia merupakan kisah rakyat yang diceritakan turun temurun. Mungkin mempunyai banyak versi lain. Salah satunya dalam legenda masyarakat Dayak juga ada kisah Kaleng Buran ini, tetapi nama isterinya ialah Kumang.

Tidak kisah apa versi sekalipun, yang pasti kisah-kisah rakyat ini sebenarnya terkandung banyak maksud tersurat dan tersirat yang boleh dijadikan teladan dalam kehidupan kita.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en