DAHULU, saya memang tidak percaya dengan kisah-kisah misteri. Bagi saya, hantu tidak wujud. Itu semua adalah kepercayaan tahyul orang-orang dahulu.

Tetapi, semua itu berubah apabila saya melalui satu peristiwa ganjil lebih 10 tahun yang lalu. Ketika itu, saya baru bertugas sebagai seorang jururawat di sebuah hospital. Di mana lokasinya, biarlah rahsia.

Saya masih ingat, ketika itu saya bertugas syif malam bersama tiga lagi rakan sekerja. Kami menjaga wad yang menempatkan orang-orang tua.

Lebih kurang pukul 1.00 pagi, ketika sedang memeriksa data pesakit, tiba-tiba saya terdengar bunyi loceng. Panggilan itu datangnya dari seorang pesakit wanita berbangsa Cina. Saya segera bangkit menuju ke arah katil pesakit itu yang terletak di bahagian hujung.

“Ada apa aunty?” soal saya.

“Ini tempat manyak bisinglah. Sebelah punya olang suka buat kacau,” kata warga emas berbangsa Cina itu.

Hairan juga saya. Ketika itu tidak ramai pesakit. Banyak katil di ruangan wanita itu kosong. Hanya dia seorang sahaja yang agak terasing. Katil sebelah kiri dan kanannya memang tidak ada orang. Siapa pula yang buat bising?

Tetapi pesakit Cina itu memarahi saya. Dia bertegas mengatakan di sebelah kirinya memang ada orang. Pesakit itu pula selalu dilawati ramai orang yang menyebabkan suasana di situ bising.

Mendengar bebelannya, saya semakin bingung kerana apa yang dikatakannya tidak selari dengan keadaan di situ. Saya terus mendengar dia mengomel. Sebentar kemudian, dia menunjuk ke arah katil sebelah.

“Lu tengok itu olang, manyak jahat. Jelir-jelir lidah sama saya,” kata pesakit Cina itu.

Bulu roma saya mulai meremang. Saya pandang kiri dan kanan, tidak ada sesiapa pun di situ. Memang hanya ada pesakit Cina itu seorang sahaja, katil-katil di sebelahnya semua kosong.

Wanita tua itu terus menyumpah seranah. Tidak tahan dengan kerenahnya itu, saya panggil seorang lagi kawan.

“Cuba kau tengok auntie ni. Dia kata ada orang dok kacau dia. Aku tak tau macam mana dah nak pujuk,” pinta saya.

Berkerut wajah kawan saya itu melihat saya. Seperti bingung. Belum sempat saya meneruskan kata-kata, kawan saya terus berjalan laju meninggalkan saya. Hairan juga saya dibuatnya, tapi saya menganggap kawan saya itu pun tidak mahu melayan kerenah pesakit tua itu.

Saya cuba memujuk wanita tua itu supaya tidur, tetapi dia tidak menghiraukannya. Dia terus mengomel sendirian. Setelah beberapa minit, akhirnya pesakit itu diam. Lalu saya tinggalkan pesakit itu.

Ketika melangkah kembali ke meja kerja, kawan-kawan setugas datang menghampiri saya. Mereka semua memandang saya dengan kehairanan.

“Kenapa?” soal saya pelik dengan riak wajah mereka.

Salah seorang daripada mereka bertanya, “Kau bercakap dengan siapa tadi?”

Saya terkejut dengan soalan itu. Saya beritahu mereka hal sebenarnya, tentang rungutan pesakit Cina itu. Tetapi setelah bercerita, saya lihat mereka bertambah bingung. Mereka berpandangan sesama sendiri.

“Mana ada orang kat situ? Pesakit yang kau ceritakan tu dah meninggal petang tadi,” jelas salah seorang kawan saya itu.

Dah meninggal? Berderau darah saya mendengar kata-kata kawan saya itu. Mustahil! Baru sekejap tadi saya berbual dengan pesakit itu.

Saya mengambil buku laporan keluar masuk wad. Saya check satu per satu. Kemudian saya lihat, tertera nama pesakit wanita itu. Betul, dia sudah meninggal petang tadi! Mayatnya juga telah diambil petugas sebelum saya masuk bekerja untuk syif malam.

Untuk meyakinkan diri sendiri, perlahan-lahan saya melangkah ke katil pesakit tadi. Saya lihat, katil itu kosong. Tidak ada sesiapa pun di situ. Badan saya terus menggeletar. Seluruh badan terasa lemah. Habis, dengan siapa saya bercakap sebentar tadi?

Selepas peristiwa itu, saya menjadi trauma apabila bekerja pada waktu malam. Sehinggakan kalau ada pesakit yang memanggil, saya tidak akan pergi sendirian. Saya akan mengajak kawan untuk menemani saya.

Agak lama juga untuk saya menghilangkan trauma itu. Namun, lama kelamaan saya jadi biasa semula, apatah lagi setelah mendengar pelbagai pengalaman aneh yang dialami rakan-rakan setugas.

** Diceritakan oleh Norasyikin, Kuala Lumpur.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram