ENGGAN memanjangkan lagi episod pertelagahan mengenai isu tiada didikan agama, pelakon remaja Puteri Balqis membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Mia Sara.
Menerusi sebuah video berdurasi satu minit 25 saat, Balqis memohon agar Mia,17, tidak lagi mengulangi kesilapan sama kerana tindakannya itu meremukkan hatinya.
Jelas Balqis,15, apa yang diperkatakan Mia tentang kehidupan dan ibunya, Norashikin Mohd. Aziz itu merupakan fitnah.
“Ikhlas daripada diri saya, saya mohon kemaafan daripada anda dan juga bapa anda, uncle Ridhuan dan tidak terkecuali, saya mohon maaf kepada semua peminat dan penyokong anda.
“Aqish dan ibu buat hal kami sendiri dan kami tak kacau orang. Jadi, saya sangat terkilan dengan komen dari anda kepada orang awam tentang saya yang mengatakan bahawa saya tidak dibesarkan dengan baik oleh keluarga.
“Itu adalah satu fitnah yang besar dan apabila anda cakap keluarga saya, satu-satunya keluarga saya adalah ibu saya.
“Saya akan cakap ini sekali sahaja, tolong jangan ulang semua perkara yang anda dah lakukan terhadap saya. Dan, saya berharap anda dan saya akan kembali meneruskan kehidupan masing-masing. ” katanya.
Dalam pada itu, Balqis yang mula popular menerusi drama Akulah Balqish itu enggan mengambil pusing mengenai kata-kata negatif orang ramai tentang hubungannya dengan Tuhan.
“Saya tak tunjukkan rasa sayang saya kepada Tuhan melalui gambar tetapi saya tunjukkan rasa cinta saya kepada Tuhan melalui puisi.
“Saya tunjukkan rasa taubat saya melalui penulisan dan tidak semua orang sedar akan perkara tersebut,” ungkapnya lagi.
Menerusi entri yang sama, Balqis sempat mengucapkan terima kasih kepada pihak yang banyak memberikan sokongan selepas insiden tersebut.
“Untuk semua para penyokong, apa yang boleh saya cakap, anda sangat baik dan tidak bising serta telah beri saya banyak rasa cinta.
“Biar nak orang hakimi anda, biarkan orang memberi tanggapan salah tentang anda, tiada apa untuk dibuktikan dan teruskanlah buat perkara yang baik-baik,” akhirinya.
Sebelum ini, Mia menerusi TikTok telah menjawab soalan seorang pengguna laman sosial terbabit mengenai kehidupan Balqis.
Menurut Mia, tidak semua dibesarkan dalam keluarga beragama dan meminta agar orang sekeliling menyalahkan Balqis jika dirinya tidak dibesarkan mengikut cara didikan Islamik.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

