Ambil masa 2 tahun untuk disiapkan, akhirnya filem Operasi UFO sudah mula ditayangkan

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

KISAH sekumpulan sahabat yang lari dari penderitaan di rumah orang tua dan mengejar UFO yang menjanjikan kehidupan awet muda sepanjang zaman. Berjayakah misi mereka?

Itu jalan cerita filem komedi drama, Operasi UFO yang mula ditayangkan di saluran Astro First sejak 5 Februari lalu.

Menariknya, filem terbitan MBC Pictures Sdn Bhd dan diarahkan oleh Khairul Anuar Mat Noor atau dikenali sebagai Abang Warna itu turut menggunakan elemen kesan khas imej janaan komputer (CGI) sekali gus menjadikan filem sulung terbitan syarikat itu boleh dibanggakan.

Disebabkan itu juga, menurut pengarahnya, Abang Warna, filem Operasi UFO itu mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sebelum mula ditayangkan.

“Penggambaran dijalankan pada bulan September 2020 dan ia memakan masa sedikit disebabkan proses suntingan yang menggunakan CGI. Dalam masa sama untuk kami mendapatkan kelulusan Astro First juga agak memakan masa.

“Kami menjalankan penggambaran ini selama 10 hari dan lokasinya di sekitar Kuala Lumpur. Lokasi lain di Batu Pahat, Johor kerana kami ingin mendapatkan suasana ladang nanas di sana,” katanya kepada URTV.

Abang Warna (kiri) bersama kru produksi Operasi UFO di lokasi

Berkongsi di sebalik filem Operasi UFO itu, menurut Abang Warna perancangan asal adalah untuk menerbitkan telefilem.

“Pada mulanya hasrat kami adalah membuat satu telefilem khas untuk TV3 dan Astro. Disebabkan kami merupakan syarikat yang baharu maka apabila kami nak cadangkan satu tajuk telefilem mereka tidak terima disebabkan sudah biasa dengan syarikat yang sudah dikenali.

“Jadi, kami berhasrat untuk menghasilkan satu telefilem khas dan meletakkan bajet yang sedikit tinggi supaya dapat hasil yang terbaik. Dengan harapan apabila produk ini selesai, pihak TV3 atau Astro akan terima jika hasilnya bagus.

“Apabila sudah siap, ada antara kami yang cadangkan untuk cuba di Astro First pula. Alhamdulillah cerita ini diterima untuk ditayangkan oleh pihak mereka,” kongsinya.

Selain itu, produksi itu turut berdepan cabaran yang melibatkan masa dan bilangan pelakon yang ramai.

“Dalam perancangan awal penghasilan naskhah ini kami berhadapan dengan masalah masa yang terhad selain bilangan pelakon yang agak ramai maka banyak sudutan yang perlu dilakukan.

“Apatah lagi kita tidak boleh terlalu menekan pelakon terutama pelakon senior kerana mereka perlu ada masa bertenang dan berehat.


“Kadangkala penggambaran mula pagi dan habis lewat. Jadi, saya pun rasa serba salah untuk mengambil masa yang terlalu lama,” katanya.

Apa pun, Abang Warna bertuah kerana mendapat sokongan penuh daripada pelakon dan kru produksi yang terlibat.

“Walau bagaimanpun, saya dapat sokongan daripada setiap pelakon yang terbabit dan juga setiap tenaga kerja produksi. Semua memberi sokongan yang sangat baik sepanjang penggambaran Operasi UFO.

“Pelakon senior dan baharu turut memberi sokongan sepenuh hati dan terbaik untuk menyiapkan naskhah Operasi UFO ini,” ungkapnya.

Filem Operasi UFO dibintangi oleh barisan pelakon disegani antaranya Wan Hanafi Su, Fauziah Nawi, Sharif Zero, Jasmin Hamid, Lousi Alissa Chong, Rozita Che Wan, Redza Rosli, Fahrin Ahmad, Vicha, Adeline Tsen, Hairi Safwan, Laura Olivia, Munir Pak Pandir, Wan Shade dan Mulyady Rudy.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Setahun derita autoimun hingga berat badan ceah 46kg, Andi Bernadee akhirnya buka mulut punca ‘sembunyi’ diri

TEKA-TEKI mengenai imej misteri penyanyi dan pelakon popular, Andi Bernadee yang dilihat 'berselubung' setiap kali berada di ruang awam...

More Articles Like This