NAMA pelakon sensasi Iqram Dinzly menjadi sebutan ramai setelah kemunculannya dalam drama Hati Yang Dikhianati (HYD) meraih pujian.
Meskipun sudah lama tidak berlakon, namun Iqram membuktikan dirinya masih punya bakat sehinggakan pelakon HYD lain seperti Shah Iskandar, Amar Baharin dan Zamarul Hisyam mengagumi kualiti lakonannya.
“Ya, saya sedang aktif berlakon. Allah sudah susunkan masa terbaik untuk saya kembali menyemarakkan industri seni.
“Pada masa sama, kebanyakan syarikat produksi sedang rancak melaksanakan penggambaran, jadi, mengapa tidak mahu mencubanya.
“Alhamdulillah, persahabatan terjalin antara saya dan rakan pelakon drama HYD membantu memberi impak baik untuk saya membina keserasian bersama rakan pelakon.
“Dan, ini juga hasil pengalaman saya selama 15 tahun sebagai anak seni, apatah lagi, melalui pelbagai kontroversi,” katanya menerusi laporan BH Online.
Menurut pemilik nama Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin atau Iqram,41, dia berkongsi bahawa syarikat produksi Global Station Sdn Bhd tetap akan sudi menerima dirinya seadanya meskipun gigi sudah tiada dan fizikal badan yang kurus.
“Saya akui tidak seperti Iqram Dinzly dahulu yang metroseksual dan menjaga penampilan, tetapi, sekarang saya hanya jalan sahaja. Alhamdulillah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Iqram atau turut dikenali sebagai Iqram Dinzlycious di laman sosial, dia bersyukur dapat menempuhi segala kecaman dan komen buruk netizen selain menafikan dirinya mempunyai penyakit mental.
“Dari segi sudut mental, saya bukanlah hebat, tetapi saya dapat membuktikan kebenaran di sebalik kemungkaran.
“Saya bukannya mempunyai masalah mental, sebaliknya, mahu memperkotak-katikkan mental golongan netizen.
“Saya melontarkan api bagi menyemarakkan jiwa netizen yang merasakan mereka hebat dan berkuasa dalam media sosial,” ujarnya.
Terdahulu, Iqram menerima kecaman hebat dan cercaan daripada netizen sehingga mengatakan pelakon itu sudah tidak siuman dan sakit jiwa.
Malah, terdapat segelintir netizen yang menuduh pelakon drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta itu mengambil barangan terlarang dan menuntut ajaran sesat disebabkan penampilannya yang pelik dan keterlaluan di laman sosial.

