- Gambar Bernama

TEKUN Nasional membuat laporan polis pada Rabu lepas kerana sistem permohonan dalam talian bagi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) dipercayai digodam.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Noh Omar berkata, TEKUN Nasional pada awalnya menjelaskan isu kelewatan dalam memproses permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan SPIM disebabkan gangguan teknikal, tetapi hasil siasatan dalaman mendapati ia akibat digodam.

“Saya dapat aduan orang ramai yang mengatakan bayaran lambat, sebenarnya perkara tersebut kerana sistem ini dikesan digodam pada 8 Feb menyebabkan sistem ini terganggu.

“Walaupun sistem ini digodam, TEKUN masih membuat bayaran secara manual, antaranya menerusi cek,” katanya dipetik Bernama selepas program “SPIM Bantu Usahawan Pulih Perniagaan Semasa Pandemik Covid-19″ di Johor Bahru.

Bagaimanapun, beliau berkata, kes itu tidak melibatkan sebarang kerugian wang dan ia masih dalam siasatan polis.

Noh berkata, pihaknya menerusi TEKUN Nasional melancarkan SPIM bagi membantu usahawan terjejas akibat Covid-19 dan banjir, dengan permohonan dibuka mulai 1 hingga 15 Jan lepas dan dana berjumlah RM200 juta disediakan.

Beliau berkata, sebanyak 23,767 permohonan diterima, dengan 15,902 permohonan diluluskan melibatkan RM130.5 juta setakat 15 Feb lepas.

“Sehingga kini, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM110.1 juta kepada 13,370 usahawan di bawah SPIM melalui cetakan cek dan termasuk juga pindahan dana elektronik.”

Katanya, penyaluran pembiayaan dijangka selesai sepenuhnya pertengahan Mac ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram