patahkan sihir dengan hati

Ilmu hitam atau sihir antara ilmu yang digeruni oleh kebanyakan orang. Sebut sahaja santau, tuju-tuju, voodoo, santet termasuk entiti yang berkaitan dengannya seperti polong, pelesit, hantu raya, sudah pasti timbul suatu perasaan seram dan takut kepada orang yang mendengarnya.

Bukan niat untuk menakutkan tetapi hakikatnya perkara ini wujud dalam semua bangsa di dunia. Cuma ketakutan kita terhadap perkara ini selalunya tidak bertempat dan menyalahi hakikat yang sebenarnya.

Ditambah lagi dengan filem dan cerita seram di televisyen serta tokok tambah lidah yang tidak berasas menjadikan ilmu hitam ini berada di suatu kedudukan yang tinggi dalam indeks seram manusia.

Ilmu Sihir Ajaran Syaitan

Iblis dan syaitan telah merancang pelbagai misi untuk menyesatkan manusia. Mereka tidak akan melaksanakan sesuatu pelan kecuali dengan tujuan untuk memastikan manusia mengikut mereka masuk ke neraka.

Mereka mengajarkan pelbagai ilmu yang menyebabkan manusia jadi jahat dan kufur. Antaranya ialah melalui ajaran sihir. Fakta ini dinyatakan oleh Allah melalui firmanNya dalam surah Al Baqarah: 102,

”… Puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia akan ilmu sihir…”.

Persepsi masyarakat terutama bagi kita yang beragama Islam tentang kehebatan ilmu hitam ini perlu dikikis. Ini kerana ilmu tersebut tidaklah sehebat dan sekuat seperti yang disangkakan. Ianya mudah diatasi sekiranya kita mengetahui rahsia dan kelemahannya.

Malangnya, kejahilan kita terhadap perkara ini menyebabkan kita cepat melatah apabila diancam sihir. Mulalah kita berikhtiar dan mencari pelbagai kaedah rawatan yang kadang-kadang menyalahi ajaran Islam. Secara tidak langsung misi syaitan dan iblis untuk menyesatkan manusia berjaya.

Allah S.W.T. tidak akan menurunkan suatu masalah dan musibah kecuali pasti Allah menyediakan panduan untuk mengatasinya sama ada melalui Al-Quran atau Sunnah Nabi. Al-Quran sendiri mengemukakan beberapa kisah pertarungan antara ahli sihir dan para utusanNya. Antara yang paling hebat ialah kisah Nabi Musa a.s. melawan ahli sihir Firaun yang sangat hebat.

Kisah Nabi Musa Mengalahkan Ahli Sihir Firaun

Nabi Musa a.s. telah diutuskan oleh Allah S.W.T. bukan sahaja untuk berdepan dengan Firaun yang amat zalim dan kejam, tetapi juga untuk berdepan dengan ahli-ahli sihir terhebat.

Allah tidak mengutuskan Nabi Musa dengan tangan kosong, tetapi dibekalkan dengan dua perkara yang menjadi mukjizat kepada Nabi Musa a.s. iaitu tongkat yang boleh bertukar menjadi ular dan tangan Baginda yang boleh mengeluarkan cahaya. Kisah ini dirakamkan dalam Al Quran, surah Ta-Ha: 17-22,

“Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?” Nabi Musa menjawab: “Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa berjalan dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu”. Allah Taala berfirman:

“Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!” Lalu ia mencampakkannya. Maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar. Allah berfirman: “Tangkaplah akan dia, dan janganlah engkau takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya yang asal. Dan kepitlah tanganmu di celah lambungmu; nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat; sebagai satu mukjizat yang lain.

Apakah rahsia tongkat dan tangan Nabi Musa? Sekarang, marilah kita meneliti rahsia apabila Allah berfirman “apa yang ditanganmu wahai Musa”. Imam Fakhru Al-Razi dalam tafsirnya mengatakan, oleh kerana tajalli pandangan Allah jatuh kepada kedua-dua objek tersebut iaitu tangan dan tongkat, maka kedua-duanya menjadi mukjizat yang sangat hebat.

Lalu kedua-duanya bertukar daripada keadaan yang biasa menjadi sesuatu yang luar biasa dengan izinNya. Tongkat Nabi Musa yang merupakan batang kayu yang telah mati dan kering tiba-tiba boleh bertukar menjadi ular yang hidup. Tangan Nabi Musa bertukar menjadi bercahaya gilang gemilang.

Kedua-dua perkara luar biasa ini sangat ajaib. Bagaimana ia boleh berlaku? Ini tidak lain dan tidak bukan kecuali kerana rahmat pandangan Allah yang jatuh ke atas tongkat kayu dan tangan Nabi Musa a.s. lalu ia bertukar menjadi hebat dan mampu mengalahkan tipu daya ahli sihir Firaun.

Imam Ar-Razi seterusnya menyambung bahawasanya Allah S.W.T. memandang kepada hati hamba Nya sebanyak 360 kali pada setiap hari. Jika hati manusia dipandang oleh Allah sebanyak itu dalam sehari, sudah pasti hati orang itu akan hidup dan menjadi lebih hebat daripada tongkat Nabi Musa.

Hidupkan hati dengan melazimi bacaan al-Quran dan berzikir

Malangnya kerana hati kita selalu alpa dan lalai dari mengingati Allah, maka hati tersebut berterusan dalam keadaan mati. Apabila berdepan dengan ancaman sihir yang kecil pun, kita sudah mula menggelabah dan tiada kekuatan untuk melawannya.

Oleh itu, salah satu cara terbaik untuk menentang kejahatan ilmu hitam ialah dengan menghidupkan hati untuk menerima kesan rahmat dan tajalli pandangan Allah ke atasnya. Hati ini bukan sahaja akan hidup, malah berupaya mengalahkan segala tipu daya penyihir.

Bagaimana untuk menghidupkan hati? Tanyalah kepada ahli-ahli zikir dari kalangan ahli sufi kerana pada mereka ada ilmu dan petua untuk menghidupkan hati yang mati, menyembuhkan hati yang berpenyakit, mencelikkan hati yang buta, melembutkan hati yang keras, menyinari hati yang kelam. Itulah penawar bagi menghapuskan kuasa sihir. Wallahu a’lam

Oleh: Prof. Madya Dr. Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang

______________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare