MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang disahkan positif COVID-19 semalam, sedang menjalani proses isolasi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.
Perkara itu dimaklumkan Hishammuddin dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hishammuddin, kemasukan ke hospital tersebut bagi tujuan rawatan dan pemantauan untuk memastikan tahap kesihatannya berada dalam keadaan memuaskan.
Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, kesihatannya dalam keadaan baik walaupun mengalami gejala.
“Seperti dimaklumkan Pejabat Menteri Kanan Pertahanan semalam, saya telah disahkan positif COVID-19 dan diperintahkan menjalani isolasi wajib mengikut ketetapan di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit.
“Alhamdulillah, walaupun mengalami gejala namun buat masa ini, saya berada dalam keadaan baik.
”Bagi memastikan tahap kesihatan saya terus berada pada tahap memuaskan, saya dinasihatkan agar menjalani isolasi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan bagi tujuan rawatan dan pemantauan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Hishammuddin Hussein positif Covid-19
Hishammuddin turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat serta mendoakan kesembuhannya.
”Saya terima banyak mesej ucapan dan doa sejak semalam. Saya memohon maaf kerana tidak dapat membalas kesemuanya.
”Namun, bagi pihak ahli keluarga, saya amat menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat serta mendoakan kesembuhan saya,” jelas beliau.
Semalam, Pejabat Menteri Kanan Pertahanan memaklumkan Hishammuddin telah dijangkiti COVID-19 dan sedang menjalani tempoh isolasi mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Hishammuddin akan terus menjalankan tugas yang sesuai dilaksanakan sepanjang tempoh isolasinya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

