PADA hari ini, begitu mudah untuk kita menghantar mesej walaupun jauh beribu batu. Terdapat pelbagai perisian yang dicipta bagi menghubungkan seseorang individu kepada individu lain. Sama ada dengan panggilan video, Whats app, Telegram dan banyak lagi.

Namun, masihkah anda ingat dengan komunikasi Short Message Service(SMS) yang terlebih dahulu popular suatu ketika dahulu sebelum teknologi gajet mengambil alih peranannya hari ini?

Komunikasi SMS mula diperkenalkan pada tahun 1984. Saban tahun perkhidmatan ini mengalami evolusi. Orang yang bertanggungjawab memperkenalkan teknologi SMS adalah dua orang jurutera berbangsa Perancis-Jerman, Friedhelm Hillebrand dan Bernard Ghillbaert. Kedua mereka ini bekerja dengan sebuah syarikat telekomunikasi gergasi eropah iaitu Global System for Mobile Communications (GSM).

Bernard Ghillbaert dan Friedhelm Hillebrand, jurutera yang memperkenalkan teknologi SMS.

Berdasarkan konsep awal, sistem perisian ini dicipta khusus untuk penggunaan telefon bimbit sahaja. Tujuan utama SMS diperkenalkan untuk memberi pilihan komunikasi kepada pengguna telefon bimbit. Selain membuat panggilan suara, mereka ada pilihan untuk menghantar pesanan ringkas.

Selain itu, khidmat SMS ini harganya lebih murah berbanding perkhidmatan panggilan suara. Jadi tidak hairanlah ia menjadi medium paling popular digunakan oleh pengguna telefon bimbit di seluruh dunia suatu ketika dahulu.

Percaya atau tidak, SMS menjadi salah satu industri multinasional yang mampu memperoleh pendapatan lebih dari $ 114 trilion setahun. Berdasarkan statistik pada tahun 2010, sebanyak 6.1 trilion (193,000 sesaat) pesanan ringkas telah dihantar oleh pengguna telefon bimbit di seluruh dunia. Secara purata, setiap SMS yang dihantar akan dikenakan caj $0.04 sen.

Mengikut laporan betanews.com, SMS pertama yang dihantar adalah pada tahun 1992. Orang bertanggunjawab menghantar pesanan ringkas ini ialah Neil Papworth, seorang bekas jurutera perisian dari Sema Group Telecoms. Mesej pertama tersebut tertera ‘Merry Chrismas’ yang ditujukan kepada rakannya yang bernama Richard Jarvis.

Pada tahun 1993, pengeluar telefon bimbit dari Finland, NOKIA menjadi syarikat pertama mengeluarkan produk telefon bimbit yang menggunakan sistem perisian pesanan ringkas. Bagi memudahkan para pengguna menghantar SMS, syarikat berkenaan telah melancarkan satu produk telefon bimbit yang lengkap dengan papan kekunci pada tahun 1997. Model baru itu digelar dengan nama Nokia 9000i Communicator.

Telefon Nokia 9000i untuk memudahkan pengguna menghantar SMS yang dilancarkan pada 1997.

Sementara itu, sebuah organisasi rangkaian telekomunikasi dari Finland, Radiolinja menjadi syarikat pertama menawarkan khidmat rangkaian telekomunikasi SMS secara komersial pada tahun 1994. Pada tahun berikutnya, syarikat lain iaitu Telecom Finland (kemudian dikenali sebagai TeliaSonera) turut mengambil langkah sama untuk para pelanggan mereka.

Oleh sebab populariti SMS semakin meningkat naik waktu itu, ia mengalami proses penaiktarafan bagi membolehkan ia digunakan dalam pelbagai rangkaian telekomunikasi yang lain.

Bermula pada tahun 1999, semua rangkaian telekomunikasi di dunia diberikan lesen untuk menggunakan perisian ini. Sebagai contoh, pengguna rangkaian telekomunikasi A boleh berhubung secara terus menerusi SMS dengan pengguna rangkaian telekomunikasi B.

Pada tahun 2000, rata-rata syarikat rangkaian telekomunikasi di seluruh dunia mula mengambil inisiatif dengan memperkenalkan perkhidmatan terbaharu. Dikenali sebagai ‘news service via SMS’ , perkhidmatan ini ditawarkan kepada pengguna yang ingin mendapatkan berita semasa di seluruh dunia. Negara Finland menjadi pelopor pertama menawarkan perkhidmatan tersebut.

Tiga tahun selepas itu, penggunaan SMS turut digunakan sebagai medium utama proses pengundian bagi sebuah program realiti, American Idol. Percaya atau tidak, sepanjang dua musim program itu berlangsung, ia berjaya mengumpul sebanyak 7.5 juta undian melalui SMS dari tahun 2003 hingga 2004.

American Idol, program realiti pertama menggunakan sistem undian menggunakan SMS.

Selain meraih undi, pesanan ringkas ini turut digunakan bagi tujuan kutipan dana kebajikan. Bertemakan ‘Text to Donate’, pertubuhan amal kebajikan United May dan Superbowl XLII menjadi badan bukan kerajaan (NGO) pertama menjalankan kempen ini pada tahun 2008. Selain itu, sebuah NGO iaitu Red Cross berjaya mengutip dana sebanyak $10 juta bagi membantu gempa bumi di Haiti.

Sejak SMS dicipta lebih 30 tahun lalu, pelbagai ciri-ciri tambahan diaplikasikan supaya perisian ini menjadi mesra pelanggan. Sebagai contoh, penggunaan perisian kamus Cambridge Dictionary pada tahun 2010, perkhidmatan SMS berangkai pemasaran dan banyak lagi.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini penggunaan SMS dilihat berkurangan semenjak kehadiran pelbagai aplikasi lain yang lebih canggih untuk menghantar pesanan seperti WhatsApp. Pun begitu, khidmat SMS ini masih lagi mampu bertahan sehingga ke hari ini, walaupun mereka yang menghantar pesanan ringkas menggunakan SMS sudah tidak seramai dahulu.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV.