Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Foto Selangor Royal Office

KERAJAAN Selangor menegaskan bahawa ketetapan membenarkan hanya individu yang telah mengambil dos penggalak COVID-19 mendirikan solat fardhu Jumaat adalah berdasarkan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi Jawatankuasa negeri Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan perkenan Sultan Selangor itu melalui surat arahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertarikh 21 Feb lepas.

“Surat arahan tersebut bertajuk ‘Arahan Mempertingkatkan Penguatkuasaan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Masjid, Surau Dan Musolla Negeri Bagi Mengawal Pandemik COVID-19. 

Baca artikel berkaitan: Syarat dos penggalak untuk solat Jumaat hanya di Selangor, tidak di negeri lain – JAKIM

“Sesungguhnya perkenan ini merupakan keprihatinan Baginda untuk mengelakkan jangkitan pandemik COVID-19 setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berikutan perkembangan terkini jangkitan pandemik tersebut,” katanya.

Menurut beliau pendekatan menggalakkan rakyat di negeri ini mengambil dos penggalak adalah bertepatan dengan salah satu prinsip Maqasid Syariah iaitu memelihara nyawa dan kerajaan negeri amat prihatin terhadap kesihatan dan kemakmuran rakyat serta sentiasa berusaha mengambil tindakan terbaik untuk mencapai maksud tersebut.

“Kerajaan juga yakin bahawa perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mewajibkan pengambilan dos penggalak bagi menyertai solat fardhu Jumaat di masjid adalah berasaskan konsep Fiqhiyyah, iaitu sadd adz-dzara’i. Konsep ini bermaksud ‘mencegah sesuatu perkara yang boleh membawa ke arah kerosakan dan bahaya,” katanya.

Mohd Zawawi turut menasihatkan rakyat Selangor agar segera mengambil dos penggalak vaksin COVID-19 di pusat pemberian vaksin berhampiran bagi memastikan kesihatan diri sendiri, keluarga dan kepentingan awam.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram