PEGUAM muda yang menjadi calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Mohamad Alias Rasman menawarkan politik khidmat meliputi aspek pendidikan, ekonomi dan sosial kepada penduduk termasuk 32,658 pengundi di DUN tersebut.
Mohamad Alias, 31, mahu membawa idea-idea baharu termasuk menerusi skop pendidikan khususnya pelaksanaan program untuk memupuk kesedaran masyarakat supaya celik soal hak dan perlindungan yang diberikan oleh undang-undang.
Kata beliau, DUN Johor Lama antaranya melibatkan enam kawasan Felda iaitu Air Tawar 2, Pasak, Air Tawar 3, Lok Heng Selatan, Lok Heng Barat dan Lok Heng Timur selain kampung tradisi dan taman perumahan bandar.
“Jadi, saya nampak isu-isu di Felda kebanyakan berkaitan dengan soal pewarisan, tanah serta undang-undang. Jadi, andai saya diberi kepercayaan untuk menjadi wakil rakyat di sini, saya merancang untuk melaksanakan modul pendidikan supaya warga DUN Johor Lama celik kepada undang-undang,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Mohamad Alias juga mahu membangunkan ekonomi termasuk orang muda merangkumi generasi kedua dan ketiga di Felda serta golongan muda lain di DUN Johor Lama.
“Kita akan munculkan peluang-peluang pekerjaan supaya mereka boleh bergantung kepada ekonomi dalam Felda itu sendiri khususnya menerusi kegiatan perusahaan mikro dan kecil (PMK) termasuk penghasilan makanan.
“Pada masa sama, saya mahu mewujudkan ekonomi di kawasan sekitar bandar Kota Tinggi supaya warga Felda, penduduk dari kampung tradisi dan taman perumahan boleh bekerja di bandar ini,” katanya.

Baca artikel berkaitan: PRN Johor: Abang Hasnol santuni masyarakat sejak usia 15 tahun
Untuk meluaskan akses pemasaran, beliau mahu membangunkan fasiliti e-platform kepada pengusaha PMK bermula dengan menangani masalah jaringan internet selain mengadakan kelas bagi memberi pendedahan mereka mengenai kaedah serta penguasaan pemasaran dalam talian dan media sosial lain.
Kegiatan pelancongan turut mendapat perhatian beliau terutama di sekitar Kampung Johor Lama yang berkaitan sejarah manakala Teluk Sengat pula tumpuan pemancing yang beriadah di rumah rakit di perairan Sungai Johor.
Dari segi sosial pula, aspirasi beliau adalah menjadikan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Johor Lama sebagai satu wadah seperti masjid yang menawarkan program berkaitan kebajilkan dan keagamaan seperti sesi tuisyen percuma, kelas agama dan mengaji berjadual serta menyediakan makanan percuma berkala.
“Ini saya sebutkan ini sebagai politik khidmat,” katanya.
Dengan latar belakang seorang peguam, beliau memang akan mendengar suara penduduk DUN Johor Lama dan kemudian mencari jalan menyelesaikan isu atau masalah mereka.
Alias turut berpegang kepada falsafah, tiada yang lama maka tiada yang baharu dan yang baharu melengkapi yang lama manakala generasi lama mendidik serta memimpin generasi bahru.
Mengenai latar belakang, beliau adalah cucu peneroka Felda Air Tawar 2 dan sinonim dengan kehidupan, cabaran serta permasalahan masyarakat peneroka.
Seterusnya, mula berjinak-jinak dengan politik pada 2008 dan terdedah kepada kegiatan pelajar ketika menuntut di Kolej Islam Kelang. Kini, beliau adalah Ketua Penerangan Armada Bahagian Kota Tinggi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

