Seri Paduka zahir ucapan selamat ulang tahun ke-89 Tentera Darat. - Gambar Facebook Istana Negara

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Darat Malaysia ke-89 kepada seluruh warganya termasuk veteran dan semua yang pernah berkhidmat dalam pasukan keselamatan itu.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada anggota Tentera Darat dalam menjaga kedaulatan negara serta pengorbanan mereka tanpa mengira masa dan penat lelah membantu rakyat yang berada dalam kesusahan ketika beberapa negeri dilanda bencana banjir buruk.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga perwira dan anggota Tentera Darat yang terkorban semasa bertugas, dan dalam melindungi kedaulatan serta keselamatan negara.

Baca artikel berkaitan: Tentera Darat tetapkan enam fokus mantapkan ketumbukan ATM – PTD

“Seri Paduka Baginda mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin,” demikian menurut catatan itu

Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Seri Paduka amat menyanjung tinggi jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota Tentera Darat dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara

“Semoga angkatan Tentera Darat terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa,” menurut catatan itu.

Hari Tentera Darat disambut pada 1 Mac setiap tahun.

Sambutan Hari Tentera Darat ke-89 dengan tema ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’ tahun ini berlangsung secara fizikal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat di Kem Segenting di Port Dickson, Negeri Sembilan pada hari ini.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram