Nak balik berhari raya? Sama-samalah turunkan kadar jangkitan kes Covid-19!

Dari Penulis

HARI RAYA AIDIL FITRI masih jauh. Tetapi sudah timbul teka teki adakah harapan untuk balik kampung menyambut hari raya tahun ini dalam keadaan kes jangkitan baharu Covid-19 masih tinggi?

Sekalipun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah memberi jaminan tiada lagi sekatan pergerakan melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau penutupan sektor ekonomi, perkembangan jangkitan Covid-19 kebelakangan ini begitu merisaukan.

Pada 5 Mac jumlah kes jangkitan baharu yang direkodkan ialah 33,406 kes. Pada 4 Mac jumlahnya 33,209 kes dan 3 Mac 32,467 kes. Dengan angka tinggi ini timbul kebimbangan adakah kenyataan perdana menteri mampu bertahan sehingga menjelang Hari Raya, juga hari-hari seterusnya.

Pembukaan semula Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang untuk memenuhi keperluan rawatan pesakit Covid-19 menambah kegusaran.

Namun pembukaan PKRC ini perlu sebagai pelan kontigensi seandainya kes terus meningkat. Ini seiring dengan kapasiti penggunaan katil bagi rawatan kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) di seluruh negara yang secara umumnya telah melangkaui lebih 60 peratus.

Untuk penggunaan katil bagi pesakit bukan ICU pula, sejumlah 12 negeri umumnya mencatatkan kadar melepasi 50 peratus. Di samping itu, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga dilaporkan meningkat.

Peningkatan kes baharu yang begitu tinggi memang tidak menggembirakan. Bayangkan daripada hanya 2,000 kes lebih dicatatkan selepas pemansuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini ia melonjak berganda-ganda.

Dibimbangi trend kenaikan tidak surut malah berterusan yang mengakibatkan keperluan kemudahan rawatan semakin mendesak. Dalam keadaan begini, masihkah menaruh harapan untuk balik kampung berhari raya, atau melalui kehidupan seharian dengan selesa?

Memang benar Ismail Sabri Yaakob sudah menegaskan tidak akan ada lagi PKP atau penutupan sektor ekonomi. Namun angka jangkitan tidak harus dibiarkan terus naik. Jika terus naik, mungkin ramai takut untuk bergerak dan lebih selesa berada di rumah sebagai langkah mengelakkan jangkitan. Menyambut hari raya pun bukan dalam keadaan selesa dan menyeronokkan.

Kerana itu jika ingin angka jangkitan menurun, juga berhari raya dalam suasana gembira dan selamat, semua mesti sama-sama membantu mengekang jangkitan. Perlu ditekankan salah satu punca kenaikan kes jangkitan ialah sikap orang ramai sendiri.

Sementara kerajaan berusaha mengekang jangkitan, dan berusaha menyediakan kemudahan rawatan terbaik, masih terdapat di kalangan orang ramai yang tidak tahu menghargai dan tidak membantu usaha kerajaan.

Ambil contoh vaksinasi Covid-19. Dari dos pertama sehingga dos penggalak, vaksinasi ialah kaedah pencegahan untuk melindungi diri daripada jangkitan pandemik tersebut. Tetapi masih ramai yang enggan menerima suntikan, sebahagian besarnya kerana terpengaruh dengan dakyah kumpulan anti vaksin.

Kesejahteraan dan kesihatan diri, sendiri yang tentukan, bukan mengikut telunjuk orang lain. Bagi yang enggan divaksin, jangan pengaruhi yang lain. Orang ramai mesti bertindak bijak tidak termakan hasutan kerana apabila menderita sakit, badan sendiri yang akan menanggung.

Selain itu harus diingat, kelonggaran seperti rentas negeri atau makan di dalam premis (dine in) hanya untuk mereka yang lengkap divaksin. Sediakah membiarkan diri terasing lantaran tidak mahu divaksin?

Terdapat di kalangan yang enggan divaksin ini mahu pula menikmati kelonggaran seperti mereka yang lengkap divaksin. Kerana itu ada yang menggunakan sijil vaksinasi palsu, termasuk untuk menunaikan umrah.

Sudahlah tidak mahu divaksin, sanggup pula mendapatkan sijil palsu daripada doktor tidak beretika dengan bayaran ratusan ringgit. Cerdikkah jika membayar begitu banyak wang untuk suntikan palsu sedangkan kerajaan menyediakan suntikan asli dan percuma?

Yang pasti untung ialah doktor tersebut. Apa untungnya kepada penerima sijil vaksinasi palsu? Memang sangat tepat tindakan diambil terhadap mana-mana doktor yang melanggar sumpah dan etika profesion.

BERITA BERKAITAN 33,406 kes COVID-19, lebih separuh kategori 2

Kumpulan anti vaksin juga menyebarkan dakyah kononnya ada yang sudah lengkap divaksin sehingga dos penggalak pun masih dijangkiti Covid-19. Ini tidak dinafikan kerana tiada jaminan dengan suntikan vaksin tidak akan dijangkiti Covid-19.

Namun perlu disedari ada beza tahap jangkitan antara yang lengkap divaksin berbanding yang langsung tidak divaksin. Memetik Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kebanyakan mereka yang telah divaksin lengkap tetapi masih dijangkiti, biasanya adalah dalam kategori ringan, iaitu tahap 1 (tidak bergejala) dan tahap 2 (bergejala ringan).

Mereka yang berada pada tahap serius iaitu 3, 4 dan 5 ialah yang langsung tidak divaksin atau belum menerima dos lengkap. Daripada perbandingan ini terbukti vaksin adalah perlindungan diri berkesan sebagai usaha dan ikhtiar menghindari jangkitan. Selebihnya Allah menentukan.

Selain itu mereka yang tidak langsung menerima vaksin berpotensi menjadi pembawa atau penyebar virus, dan juga terdedah kepada jangkitan virus. Fikirkan akibatnya, bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga keluarga tersayang dan masyarakat. Sukakah melihat ibu bapa, adik beradik dan saudara mara atau jiran dijangkiti kerana kita? Jangan bersikap selfish.

Operasi prosedur standard (SOP) seperti penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka masih berkuatkuasa. Namun perhatikan berapa ramai yang mengabaikan, seolah-olah sudah merdeka daripada ancaman Covid-19.

Apabila berkumpul berama-ramai, atau pada majlis-majlis tertentu, penjarakan fizikal diketepikan. Begitu juga berpusu-pusu di kawasan rawat dan rehat (R&R) serta pusat membeli belah. Bersalam, berbual bertepuk tampar bagai lupa Covid-19 berada di sekeliling, mengintai untuk menyerang tanpa mengira siapa dan pada bila-bila masa.

Dr. Noor Hisham sudah mengingatkan agar sentiasa mematuhi SOP sebagai langkah pencegahan. Sepatutnya tidak perlu disuruh pun, tetapi kesedaran datang daripada hati kerana ia untuk keselamatan sendiri.

Sayangnya ramai yang lebih suka membuat peraturan menurut penilaian sendiri. Jika akibat daripada sikap buruk ini hanya berbalik kepada diri sendiri tidak mengapa juga. Tetapi ramai yang lain akan terkena tempias dan turut sama menderita. Bukankah ini satu penganiayaan?

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

‘Selamat malam Rohingya’, ini masanya untuk Malaysia bertindak

KITA bukan hendak membenci mereka, tetapi ada banyak laporan buruk mengenai kelibat mereka di tanah air kita yang tercinta...

More Articles Like This