Legasi pemikiran dan kepimpinan Tun Razak: Pemerkasaan sistem penyampaian

Dari Penulis

TURUTAN kepada rencana saya terdahulu bertarikh 20 Februari 2022, yang menyorot kembali legasi pemikiran dan kepimpinan Tun Razak, sekali lagi ingin dikongsi legasi beliau itu. Kali ini mengenai usahanya memperkasakan sistem penyampaian dalam sektor awam dan korporat.

Pada masa ini, isu berkaitan sistem penyampaian awam dan korporat semakin hangat didebatkan, terutama dalam media sosial. Malangnya kebanyakan perbicaraan itu bukan sesuatu yang enak didengar. Ini turut diakui sendiri dalam kalangan jentera kerajaan semasa. Misalnya, dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh salah sebuah tabloid pada 10 November 2021, Pengarah Eksekutif, Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) mengakui kecacatan ini dengan menyatakan bahawa dasar-dasar yang bagus sering dikecewakan oleh perlaksanaan yang lemah.

Ekoran dari begitu banyak rungutan mengenainya, Jawatankuasa Pemandu MPM semasa sidangnya yang ke-19 pada 24 Februari 2022, Tan Sri Ahmad Zaki Ansore selaku Pengerusi Biro Governan dan Integriti MPM, berbicara panjang lebar akan permasalahan ini.

Pengerusi Jawatankuasa itu, Tun Mohd Hanif Omar, turut mengaitkan permasalahan ini dengan keupayaan dan ketegasan pucuk pimpinan jentera kerajaan dalam mengemudi pasukan pentadbirannya. Beliau seraya mengimbas kembali sejarah pentadbiran negara ini sejak di era pentadbiran kolonial British.

Menurut beliau, sebaik saja General Sir Gerald Walter Robert Templer mengambilalih tugas sebagai Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaya untuk penggal 1952-1954, beliau mengetahui ia bukan saja berdepan ancaman keselamatan oleh pengganas komunis, lebih mencabar ialah Perintah Darurat (Malayan Emergency) berdasarkan The Briggs Plan of 1950, gagal dikuatkuasakan dengan penuh berkesan.

Ini disebabkan banyak keputusan dan tindakan lemah dan kurang berkesan oleh pentadbiran British ketika itu. Dalam kalangan mereka itu sendiri pun terlalu banyak kerenah sesamanya.

Menurut Tun Hanif lagi, di antara langkah awal General Sir Gerald Templer lakukan ialah memanggil kesemua (sekitar 200 orang), pentadbir British di pelbagai jabatan, bermesyuarat dengan mereka. Beliau menunjukkan kepada mereka itu surat lantikan oleh Sir Winston Churchill, bagi maksud memberitahu kepada semua perihal “authority’ yang ada padanya dalam mengetuai jentera pentadbiran British di Malaya ketika itu.

Dipendekkan cerita, beliau bertindak sedemikian adalah untuk memberitahu bahawa beliau adalah “commander” kepada jentera penradbiran kolonial British di Malaya dan segala arahan beliau adalah bagi pihak Perdana Menteri Britain.

Selang beberapa bulan selepas ketibaannya, beliau menghasilkan satu pelan tindakan yang dinamakan The Templer Plan, bagi menambahbaik The Briggs Plan 1950. Bagi memastikan The Templer Plan 1952 itu direstui Sir Winston Churchill, pada 1 Februarj 1952 beliau mengirimkan deraf pelannya itu kepada Oliver Lyttelton, Setiausaha Negara Bagi Jajahan United Kingdom, untuk disemak dan dipersetujui.

Maka, pada Khamis 19 Mac 1952, General Sir Gerald Templer membentangkan The Templer Plan 1952 itu kepada Majlis Legislatif Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council of Malaya). Mengapa begitu turutan proses penyediaan The Templer Plan 1952 itu dan mengapa beliau sengaja mahu semua pihak tahu mengenainya, ialah untuk semua pemegang taruh yang berkaitan atau subjek kepada pentadbiran beliau, mengetahui akan pemerkasaan kuasa yang ada padanya.

Kefahaman saya dari penceritaan oleh Tun Hanif itu dalam konteks kepimpinan pentadbiran kerajaan adalah berkaitan mandat, amanah, kewibawaan, ketegasan dan keberanian ketuanya bertindak dan membuat keputusan. Templer diriwayatkan dalam sejarah pentadbiran pra merdeka sebagai seorang ketua pentadbir yang tegas dan memiliki keberanian dalam bertindak.

Di penghujung sidang MPM itu ialah giliran Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, selaku Pengerusi Jawatan Kuasa Bersama Sambutan Sekurun Sempena Kelahiran Tun Razak, melaporkan persiapan jawatankuasa itu sempena sambutan tersebut, bermula pada Jumaat 11 Mac 2022, iaitu tarikh genap 100 tahun kelahiran Tun Razak.

Pelaporan beliau mencuit keinginan saya mengaitkan permasalahan yang diutarakan oleh Tan Sri Zaki dan penceritaan mengenai ketokohan Sir Gerald Templer oleh Tun Hanif, dengan legasi pemikiran dan kepimpinan Tun Razak dalam memperkasakan jentera pentadbiran kerajaan dan korporat, di zamannya.

Di permulaan era Dasar Ekonomi Baharu (DEB), Tun Razak tiada banyak pilihan selain mengemudi sekumpulan kecil jentera pentadbiran yang pelbagai latar belakang dan sebahagian besar daripadanya masih berkiblatkan pemerintahan kolonial British. Sementara menunggu kakitangan pelapis terutama dalam kalangan bumiputera yang masih menuntut di pelbagai universiti dalam dan luar negara, Tun Razak “memilih” penjawat awam ketika itu yang sealiran pemikiran dengan beliau.

Selepas tercetus tragedi rusuhan kaum 1969 dan semasa menerajui pentadbiran di bawah MAGERAN, beliau mengambil kesempatan untuk mengislahkan jentera pentadbiran dengan lebih tersusun. Beliau meletakkan dirinya sebagai “commander” yang ada mandat jelas untuk melaksanakan dengan berkesan, pelan pembangunan yang digariskan dalam DEB 1970.

Dalam serba kekurangan dan fasiliti pentadbiran yang amat basic, beliau mencorakkan sistem pentadbiran bagi membolehkan beliau memantau secara langsung apa yang berlaku di lapangan.

Untuk itu beliau bekerja erat dengan Ketua Setiausaha Negara sebagai Ketua Pentadbiran Negara dan dengan Ketua Pengarah ICU yang mengetuai jentera penyelarasan perlaksanaan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Saya berkesempatan mengenali dengan rapat salah seorang pegawai yang diamanahkan secara langsung oleh Tun Razak untuk memegang portfolio pegawai pembangunan negeri (SDO) di sebuah negeri yang dianggap di antara yang termundur ketika itu, pada usianya yang masih muda.

Sebagai orang yang “dipercayai” oleh Tun Razak, beliau berkongsi dengan saya banyak pengalamannya secara peribadi dan persepsi beliau mengenai ketokohan Tun Razak dalam memimpin jentera pentadbiran negara. Jentera pentadbiran yang dimaksudkan merangkumi agensi-agensi enterprise awam, seperti FELDA dan perbadanan ekonomi negeri.

Allahyarham Tun Abdul Razak meninggalkan jasa besar kepada negara sepanjang tempoh pemerintahan beliau sebagai Perdana Menteri kedua.

Bagi “compensate” kekurangan yang ada ketika itu dalam memastikan manfaat agenda pembangunan dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat di mana jua ceruk daerahnya, beliau memperkukuhkan sistem pentadbiran yang ada. Tiga agensi pusat ini amat penting peranan masing-masing selain jentera pentadbiran negara yang diketuai KSN. Beliau mengemudi secara langsung tiga agensi pusat ini:

● EPU mengkhusus kepada aspek perancangan;
● ICU mengkhusus kepada aspek penyelarasan perlaksanaan, dan
● SERU kepada aspek penilaian impak hasil dari sesuatu agenda pembangunan itu.

Baca: Legasi pemikiran Tun Razak, kemakmuran komuniti pertanian dan agenda sekuriti makanan

Pastinya yang paling kerap berurusan dengan beliau ialah ICU yang diperkasakan dengan jentera pentadbiran diterajui SDO (State Development Officer) di peringkat negeri dan pegawai daerah di peringkat daerah.

Oleh kerana teras DEB ialah pembasmian kemiskinan dan penguncupan jurang ekonomi antara kaum dan antara wilayah, pastinya kawasan pembangunan tumpuan yang hendak dibangunkan secara setara dan saksama adalah di daerah-daerah yang masih mundur. Hatta, di daerahlah banyak kejadian yang sepanjang masa menarik perhatian beliau.

Soalnya, bagaimana beliau boleh dan mampu untuk memantau secara berkala dan secara dekat akan kemajuan di semua daerah itu yang mundur dan serba kekurangan dalam pelbagai aspek, terutama personel, fasilti pentadbiran dan sistem pemantauan perlaksanaan?

“Handicap” itu sebenarnya menjadi “impetus” yang mencetuskan ilham untuk beliau membangunkan satu sistem pentadbiran dan pemantauan perlaksanaan di setiap daerah, tak kira semundur mana sekalipun daerah itu.

● Pertama, ditubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Daerah diketuai pegawai daerah, melibatkan semua jabatan dan agensi yang terdapat di daerah berkenaan. Wakil rakyat juga menyertai sama jawatankuasa ini. Bagi memastikan semua jabatan dan wakil rakyat akur dengan tatacara pembangunan yang digariskan dan peranan masing-masing dalam jawatankuasa berkenaan, setiap pegawai daerah diperkasakan dengan mandat sebagai “commander’ bagi daerah yang ditadbirnya. Pada zaman itu pun bukannya mudah untuk semua pihak akur dengan arahan sedemikian, akan tetapi itulah sistem pentadbiran yang dibina bagi tujuan penyelarasan perlaksanaan. Alhamdulillah ia berjaya dilaksanakan dengan berkesan.

● Kedua, di setiap daerah ditubuhkan bilik gerakan bagi memaparkan kemajuan setiap agenda pembangunan di daerah berkenaan. Dalam konteks kemajuan teknologi maklumat semasa, bilik gerakan ini ibarat Performance Monitoring Digital Dashboard. Semua pemegang taruh terlibat boleh memantau sama kemajuan sesuatu agenda di daerah berkenaan dengan merujuk kepada bilik gerakan ini. Malah Tun Razak sendiri, bila melakukan lawatan kerja ke sesuatu daerah, bilik gerakan inilah tempat pertama yang akan beliau kunjungi untuk mendapatkan taklimat.

Saya juga difahamkan oleh pegawai SDO yang saya maksudkan itu, lazimnya bila Tun Razak turun padang, melawat sesebuah daerah, beliau tidak gemar melihat pegawai yang tidak berkaitan hadir sama. SDO sendiri secara lazimnya tidak akan berbuat demikian, kerana beliau tidak diperlukan untuk memberi taklimat, maka sewajarnyalah berada di tempat kerjanya, bukan mengekori Tun Razak semasa lawatan.

Dari penceritaan itu, saya amat berharap legasi pemikiran dan kepimpinan beliau dapat disemarak dan dikekalkan “bernyawa’ bagi membimbing kita semua untuk berfikir dengan bijaksana dan ada kesungguhan bertindak dengan kompeten, dalam merencana apa yang terbaik untuk negara ini, pada masa kini dan akan datang. Kekurangan bukan faktor penghalang atau pelemah untuk kita melaksanakan apa yang diamanahkan, dengan penuh keazaman. Jika beliau yang berdepan serba kekurangan boleh melakukannya, mengapa tidak kita dan mengapa tidak kita “inspire” generasi millenial meneruskan legasi beliau itu.

Ketika Tun Razak menerajui MAGERAN dan kemudiannya sebagai Perdana Menteri, saya baru memulakan kerjaya di Johor sebagai pegawai rendah, umur masih muda dan pengalaman masih mentah. Pun begitu aura kepimpinan beliau dapat saya dan rakan-rakan seangkatan dengan saya rasakan, sekalipun kami bertugas nun jauh di ceruk daerah yang mundur. Begitulah hebatnya pengaruh pemikiran dan kepimpinan beliau kepada kami ketika itu.

Hari Jumaat, 11 Mac 2022 adalah hari ulang tahun kelahirannya yang ke-100. Sama-samalah kita abadikan legasi pemikiran dan kepimpinan beliau untuk kekal malar-hijau. Al-Fatihah.

Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Manusia lupa, Allah pernah melaknat manusia menjadi spesies kera

CUTI sempena Aidiladha tempoh hari, saya sempat pulang ke kampung halaman. Ketika itu, kebun kecil di depan rumah sedang 'berbahagi...

More Articles Like This